KUCHING: Hubungan sejarah masyarakat Minangkabau dengan Sarawak yang terjalin sejak sebelum kewujudan sempadan negara moden perlu dihidupkan semula sebagai asas memperkukuh kerjasama dalam bidang kebudayaan, pendidikan, perdagangan dan pelaburan.
Gabenor Sumatera Barat, Mahyeldi Ansharullah berkata, hubungan tersebut mempunyai akar sejarah yang kukuh menerusi penghijrahan, perdagangan, pertalian kekeluargaan serta perkongsian warisan budaya antara masyarakat di kedua-dua wilayah.

“Hubungan Sumatera Barat-Sarawak bukan sesuatu yang perlu dibina dari awal, sebaliknya perlu dipelihara dan diterjemahkan kepada kerjasama konkrit yang memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan Persahabatan Indonesia-Sarawak 2026 bertemakan “Meraikan Persahabatan, Memperkukuh Hubungan” yang turut dihadiri Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr Abdullah Zulkifli, di sini, malam tadi.

Tambah Mahyeldi, hubungan sejarah itu antaranya dapat ditelusuri menerusi tokoh Dato Godam atau Datu Gudam yang berasal dari Pagaruyung, Minangkabau, sebelum berhijrah ke Saribas, Sarawak dan mempunyai kaitan dengan sejarah pemerintahan tempatan di kawasan berkenaan serta Kesultanan Brunei.
“Selain itu, Datuk Jenaton, seorang tokoh Minangkabau yang dikaitkan dengan pembukaan petempatan Batu Uban di Pulau Pinang, turut mencerminkan pengaruh masyarakat Minangkabau dalam perkembangan sejarah Alam Melayu.
“Hubungan tersebut turut merangkumi sumbangan dalam bidang kepimpinan dan perjuangan, termasuk Yusof Ishak, Presiden pertama Republik Singapura yang mempunyai susur galur Minangkabau daripada sebelah bapanya, serta Leftenan Adnan Saidi, wira perang yang mempertahankan Singapura ketika Perang Dunia Kedua.
“Di Sarawak pula, sumbangan dalam bidang persuratan dapat dilihat menerusi Ahmad Shawal Abdul Hamid yang menghasilkan Hikayat Panglima Nikosa pada 1876 di Kuching, sekali gus menjadi antara karya penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu di negeri ini,” kata Mahyeldi yang turut mengaitkan tokoh berkenaan dengan warisan Minangkabau.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat sedang membangunkan Gerakan “Minang Pride” bagi menyemarakkan semula rasa bangga generasi muda, khususnya golongan milenial, terhadap identiti dan warisan Minangkabau menerusi penghayatan sejarah, budaya dan bahasa.
Bagi menyokong usaha tersebut, jelasnya satu pasukan penyelidik yang melibatkan golongan intelektual, rangkaian penyelidik di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam serta profesor sejarah dari Universiti Andalas ditubuhkan untuk mengkaji dan mendokumentasikan tokoh-tokoh berketurunan Minangkabau yang mempunyai kaitan dengan ketiga-tiga negara berkenaan.
Mahyeldi memberitahu, penyelidikan itu bukan sahaja bertujuan memelihara warisan sejarah, malah membuka peluang pembangunan Sumatera Barat menerusi pendidikan, kebudayaan, hubungan antarabangsa dan pengukuhan jaringan diaspora.
Dalam usaha memperluas hubungan dua hala, beliau berharap Kerajaan Provinsi Sumatera Barat dan Kerajaan Sarawak dapat menjalin kerjasama lebih erat menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada masa hadapan, meliputi perdagangan, pendidikan, kebudayaan, pelaburan serta pertukaran lawatan antara kedua-dua wilayah.

