KUCHING: Seorang warga emas berusia 71 tahun ditemukan maut selepas terlibat dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Lorong Stutong Baru pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu memaklumkan, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sekitar 7.05 malam sebelum sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Maong bersama-sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi dan siasatan awal.
“Sejurus tiba, pasukan penyelamat mendapati kebakaran berlaku di bahagian tingkat atas rumah berkenaan.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum segera dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun tambah Alexson, mangsa disahkan meninggal dunia pada 8.30 malam oleh pihak hospital.
Hasil siasatan awal, kejadian berkenaan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Dalam pada itu, siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran masih dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
Beliau turut menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.


