Warga emas antara dua kes kematian baharu di Sarawak

KUCHING: Sarawak melaporkan dua kes kematian baharu melibatkan jangkitan Covid-19 di Sibu hari ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kes kematian ke 25 merupakan kes ke 2,947 merupakan seorang perempuan warga Sarawak berumur 35 tahun telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 22 Januari lalu.
Kata JPBNS, kes dibawa ke hospital kerana mengalami kesukaran bernafas dan seterusnya dimasukkan tiub bagi bantuan pernafasan.
“Mengikut sejarah penyakit, kes mempunyai simptom demam, batuk dan kahak berdarah. Kes telah disahkan meninggal dunia hari ini pada jam 5.20 pagi di Hospital Sibu.
“Saringan ujian rt-PCR Covid-19 pada 16 Januari adalah positif dan ujian RTK Antigen yang dijalankan pada 22 Januari juga dikesan positif Covid-19. Kes ini mempunyai ko-morbid seperti penyakit darah tinggi dan obesiti,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sementara, JPBNS berkata, kes kematian ke 26 merupakan kes ke-1,892 yang melibatkan seorang lelaki warga Sarawak berumur 74 tahun telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 14 Januari lalu.
Jelas jawatankuasa itu, kes dimasukkan ke Hospital Sibu kerana saringan rt-PCR Covid-19 pada 13 Januari lalu di pusat jagaan dan telah didapati positif pada 14 Januari.
“Bermula 18 Januari, keadaan kesihatan kes mula menurun dan memerlukan bantuan pernafasan. Kes telah disahkan meninggal dunia hari ini pada jam 10.02 pagi di Hospital Sibu.
“Kes ini juga mempunyai ko-morbid iaitu penyakit darah tinggi dan penyakit Tuberkulosis (batuk kering). Dimaklumkan juga bahawa kes ini adalah daripada Kluster Pasai,” kata JPBNS.
JPBNS memberitahu, jumlah kes kematian akibat Covid-19 di Sarawak telah meningkat kepada kepada 26 orang atau 0.83 peratus dari jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.
JPBNS turut memaklumkan seramai 134 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini dari Hospital Sibu (90 kes), Hospital Miri (18 kes), Hospital Bintulu (18 kes) dan lapan kes Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih atau discaj meningkat kepada 1,593 orang atau 50.99 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak.
“Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 1,500 orang iaitu 1,061 kes di Hospital Sibu 235 kes di Hospital Miri, 135 kes di Hospital Umum Sarawak (HUS), 68 kes di Hospital Bintulu dan satu kes di Hospital Limbang,” jelasnya.
Tambah JPBNS, seramai 291 Individu di bawah siasatan (PUI) baharu telah dilaporkan hari ini dan seramai 95 PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Suara Sarawak