ARTIKEL

Antara barangan rampasan daripada suspek.

Warga emas dipenjara lima tahun atas tiga pertuduhan senjata api dan ugutan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DARO: Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sarikei atas tiga pertuduhan berkaitan ugutan jenayah, memiliki senapang patah buatan sendiri bersama peluru tanpa permit serta memiliki sebilah pedang samurai.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Rahim Mihos berkata, tertuduh yang berusia 70 tahun itu ditahan selepas disyaki terlibat dalam satu kes ugutan jenayah di Kampung Saai, di sini, pada 4 Mei lalu.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, mangsa sedang menanam sawit di kebun sebelum didatangi suspek dalam keadaan mabuk serta mengacukan senapang patah ke arah dada mangsa.

“Tindakan tersebut dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang menanam sawit di kawasan kebun berkenaan. Mangsa berjaya melarikan diri dalam keadaan ketakutan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sarikei atas tiga pertuduhan.

Susulan laporan yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro menjalankan operasi dan berjaya menahan suspek.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan dua laras senapang patah buatan sendiri, lima butir peluru 12 bore tanpa permit sah serta sebilah pedang samurai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Ujar Rahim, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah.

“Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama empat hari sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Beliau berkata, pada 8 Mei, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sarikei dan mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara di Penjara Sibu selama enam bulan bagi pertuduhan pertama, lapan bulan bagi pertuduhan kedua dan lima tahun bagi pertuduhan ketiga.

Dalam pada itu, polis menegaskan bahawa pemilikan senjata api dan peluru tanpa permit yang sah merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang.

Menurut beliau, kesalahan memiliki senjata dan peluru tanpa permit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, bagi kesalahan membawa atau memiliki senjata berbahaya di tempat awam, pesalah boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun jika disabitkan kesalahan.

TAMAT

BERITA LAIN

BERITA TERBARU