BETONG: Luluh hati seorang isteri melihat suaminya disambar buaya dalam satu kejadian berhampiran Rumah Baloi, Skim Skrang di sini, pagi tadi.
Insiden kira-kira jam 10.20 pagi berlaku ketika mangsa, Chaong Baringai, 67, sedang mengisi air ke dalam tangki racun pam di tebing sungai tidak jauh dari kebun sawit dan sawah padi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, isteri mangsa yang berada tidak jauh dari lokasi sempat melihat kejadian yang mengejutkan itu.
“Isteri mangsa memberitahu bahawa seekor buaya telah menyambar suaminya dan membawa mangsa pada jarak kira-kira 200 meter ke hulu sungai tersebut.
“Wanita itu kemudiannya mendapatkan bantuan penduduk kampung sebelum melakukan pencarian namun mangsa gagal dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 pagi.
“Komander operasi lapor bersama anggota sampai di jalan utama dan anggota berjalan kaki sepanjang tiga kilometer (km) untuk ke lokasi kejadian.
“Ketika ini operasi pencarian masih dilakukan di kawasan Lubok Tekam iaitu lokasi mangsa dipercayai dilepaskan dari mulut buaya tersebut,” katanya.




