SIBURAN: Seorang wanita warga emas yang keluar dari rumah sejak pagi tadi masih belum ditemui menyebabkan pihak berkuasa menggerakkan usaha awal pencarian di sekitar Kampung Sentah, di sini.
Komander operasi, PBK I Ahmad Shah berkata, mangsa dikenali sebagai Sinuweg Rami, 69 tahun, dipercayai meninggalkan kediamannya di No. 31, Kampung Sentah kira-kira jam 10 pagi, namun tidak pulang sehingga ke petang.

“Menurut maklumat awal, tujuan mangsa keluar dari rumah tidak diketahui dan dia tidak memaklumkan destinasi kepada ahli keluarga.
“Apabila usaha menghubungi mangsa gagal, anak mangsa tampil membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Susulan laporan itu kata Ahmad, pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba dan Penyelamat Siburan digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira jam 6.30 petang bagi menjalankan pemeriksaan awal.
Pihaknya mendapatkan maklumat terperinci daripada ahli keluarga sebaik tiba di lokasi bagi membantu mengenal pasti corak pergerakan dan kemungkinan laluan yang dilalui mangsa.

“Pemeriksaan awal dijalankan di sekitar kawasan rumah dan laluan berhampiran sebagai usaha mengesan sebarang petunjuk.
“Operasi peringkat awal melibatkan dua anggota bomba dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, selain kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut membantu di lokasi kejadian.
“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian akan diteruskan bergantung kepada maklumat baharu.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan mangsa diminta tampil membantu bagi mempercepatkan proses pencarian,” katanya.

