LAWAS: Seorang lelaki berusia 63 tahun disahkan meninggal dunia manakala dua individu lain mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Merapok–Lawas, semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan memaklumkan mangsa, Goh Soon Tai yang berasal dari Kuching, meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang berair kira-kira jam 7.27 malam.
“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Merapok ke pusat bandar Lawas bersama isterinya dan seorang rakan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Liong menambah, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum terjunam ke dalam longkang akibat permukaan jalan yang licin selepas hujan.
Beliau berkata, impak kemalangan menyebabkan kereta mengalami kerosakan serius.
“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lawas, manakala isteri dan rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Tambahnya, jenazah mangsa telah dihantar ke bilik mayat Hospital Lawas untuk tujuan bedah siasat dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

