SARIKEI: Seorang lelaki warga emas maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 435, Jalan Betong/ Sarikei/ Meradong di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Polis Sarikei, Supt Aswandy Anis berkata, mangsa, Wong Lok Ung, 65, disahkan meninggal dunia di Hospital Sarikei ketika mendapatkan rawatan.
“Dalam kejadian yang berlaku pada 9.30 pagi, kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Kembara dan dua Toyota Hilux.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu Toyota Hilux yang merupakan seorang lelaki, 57, bergerak dari arah Bintulu menuju ke Betong memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Aswandy, kenderaan mangsa ketika itu dari arah Jakar menuju ke Jalan Jongkong, Sarikei manakala sebuah lagi Toyota Hilux yang mengekori kenderaan mangsa melanggar belakang kereta tersebut.
Akibat kemalangan ini kata Aswandy, lelaki warga emas terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dada.
“Mangsa meninggal dunia sewaktu mendapat rawatan di Hospital Sarikei, sementara kedua-dua pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh hubungi kami atau di mana-mana balai polis berhampiran.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar berhati-hati semasa memandu pada musim perayaan,” katanya.

