BINTULU: Seorang warga emas wanita disahkan rentung dalam insiden kebakaran melibatkan 16 rumah setinggan di Jalan Tanjung Kidurong, Sungai Plan di sini, tengah hari tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Lima Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, mangsa berusia 77 tahun dikenali sebagai Nuie Ipang.

“Dalam kebakaran melibatkan rumah setinggan berstruktur tidak kekal yang dianggarkan berkeluasan 300 x 400 kaki persegi itu, seorang warga emas wanita disahkan rentung.
“Secara keseluruhan, 92 penghuni (termasuk warga emas rentung) terdiri daripada 67 dewasa dan 25 kanak-kanak hilang tempat berteduh,” katanya dihubungi, sebentar tadi.

Jelasnya, mayat mangsa rentung diserahkan kepada pihak polis pada 2.12 petang untuk tindakan lanjut.
Tambah Wan Kamarudin, kebakaran menyebabkan 16 rumah musnah 100 peratus.

“Berdasarkan penilaian terdapat 16 rumah terbakar 100 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 12.03 tengah hari,” ujarnya.
Terdahulu dalam kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong digegaskan ke lokasi sambil dibantu BBP Bintulu.
Pegawai Operasi BBP Zon Lima Bintulu PPgB Francis Aceh Anak Angai, Pamangku Ketua BBP Kidurong PPgB Erich Andre Lim dan Pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran Zon Lima Bintulu PPgB Kumar Tajan turut hadir ke lokasi.


