ARTIKEL

Gambar Hiasan

Warga emas rugi lebih RM91,000, terpedaya tawaran kerja dalam talian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun mengalami kerugian sebanyak RM91,720.76 selepas terperangkap dalam penipuan tawaran kerja sambilan secara dalam talian di daerah Kuching, baru-baru ini.

Kes ini dilaporkan pada 18 Ogos 2025 di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching selepas mangsa mendapati dirinya diarahkan membuat pelbagai pembayaran bagi menyiapkan tugasan yang dijanjikan akan memberi komisen.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu, mangsa mula melayari laman sesawang https://pro-urdcareer.top/login pada 16 Julai lalu dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp Ureed 480.

“Mangsa diarahkan melakukan pelbagai pembayaran dalam talian.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa membuat 16 transaksi bayaran ke 16 akaun berbeza seperti diarahkan, sehingga mengalami kerugian besar berjumlah RM91,720.76,” kata Alexson dalam kenyataan.

Beliau menambah, modus operandi yang sama menyebabkan 34 kertas siasatan dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuching sejak 1 Januari hingga 18 Ogos lepas, dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM1.42 juta, termasuk kes terkini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

“Sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun, sebatan, serta denda,” katanya.

Alexson menegaskan, penipuan seperti ini bukan sahaja menimpa golongan muda tetapi juga warga emas, sekali gus menunjukkan bahawa penipuan dalam talian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Beliau menasihati orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika berurusan dengan individu yang tidak dikenali di media sosial dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja sambilan yang menjanjikan keuntungan segera.

Pihak polis juga menekankan kepentingan masyarakat mempunyai pengetahuan tentang modus operandi penipuan dalam talian dan sentiasa berwaspada, bagi membentuk komuniti yang selamat dan terhindar daripada menjadi mangsa penipuan

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes atau berdepan dengan situasi serupa diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuching bagi tindakan lanjut,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU