ARTIKEL

Tertuduh dibawa keluar dari bilik Mahkamah Sesyen 1 oleh anggota polis.

Warga Indonesia Dipenjara Tiga Bulan Kes Judi Dalam Talian Dan Tinggal Lebih Masa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan oleh mahkamah hari ini, kerana terlibat dalam pengendalian mesin judi dan pas lawatan ke negara ini telah tamat tempoh.

Tertuduh berusia 19 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut seksyen 15(4) akta yang sama.

Bagi kesalahan tersebut, Hakim Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh.

Iris memerintahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman penjara untuk tujuan pengusiran.

Manakala, pertuduhan kedua dia didakwa mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4B Akta tersebut, kerana terlibat dalam pengendalian mesin judi sebuah telefon pintar jenama Vivo.

Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas tertuduh.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa hari ini.

Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah kedai runcit di Siburan, sekitar 2.30 petang, 30 Julai lalu.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan pegawai polis mengetuai pasukannya membuat serbuan di sebuah kedai runcit kerana dipercayai terdapat aktiviti judi dalam talian.

Satu tangkapan dilakukan terhadap seorang lelaki yang sedang mengendalikan mesin judi menggunakan sebuah telefon pintar.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh merupakan warga Indonesia dan pas lawatannya telah tamat tempoh.

Dia sepatutnya melaporkan diri di pintu sempadan Tebedu pada 18 Jun 2025, tetapi tinggal lebih masa di negara ini.

Semasa serbuan terbabit seunit telefon pintar miliknya turut dirampas.

Hasil siasatan mendapati tertuduh tinggal lebih masa di negara ini selain terlibat dalam pengendalian mesin judi dalam talian.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Chuah Kai Sheng dan DPP Mohammad Afiq Safly Nor Kazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU