SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak hari ini membantu dua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Jeriah di sini menerusi program gotong-royong membersihkan sisa kebakaran bagi membolehkan kerja pembinaan semula rumah dilaksanakan dalam masa terdekat.
Program diketuai Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili melibatkan warga JPJ Cawangan Sibu dan Sarikei sebagai tanggungjawab sosial jabatan meringankan beban mangsa.
JPJ Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian pada Oktober tahun lalu memusnahkan rumah didiami dua keluarga berkenaan, menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal, namun semua penghuni terselamat.
Rumah milik Kelumai Suigem, 58, yang didiami bersama tiga anak dan empat cucu, musnah dalam kebakaran itu, manakala rumah jirannya milik Dayang Rauyah Abang Hajimi yang didiami bersama tiga anak dan tiga cucu turut terjejas.
Justeru, wakil keluarga, Aissammudin Ahmad, merakamkan penghargaan kepada warga JPJ yang membantu membersihkan sisa kebakaran.
Beliau berkata kerja pembinaan semula rumah akan dimulakan dalam masa terdekat.


