ARTIKEL

Empiang ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kraf Tangan IWCT 2025/2026 di Hotel Riverside Majestic, di sini, hari ini.

Warisan kraf Iban perlu diperkasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemeliharaan kraf tangan tradisional Iban perlu diperkasa untuk memastikan identiti dan warisan masyarakat itu terus kekal sekali gus dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Pengerusi Amanah Kebajikan Wanita Iban (IWCT), Tan Sri Datuk Seri Empiang Jabu berkata, perkara itu penting kerana kraf tangan bukan sekadar hasil seni atau kerja tangan sebaliknya mencerminkan sejarah, kepercayaan, nilai, khazanah dan cara hidup masyarakat Iban.

Katanya, masyarakat hari ini juga merupakan penjaga yang diamanahkan untuk memelihara, mempertahan dan meneruskan warisan agung yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu.

“Saya berharap IWCT akan terus menganjurkan pertandingan ini dengan komitmen yang jelas dan teguh untuk melindungi, meningkatkan, menghargai dan mengangkat warisan masyarakat Iban,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kraf Tangan IWCT 2025/2026 di Hotel Riverside Majestic, di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha itu juga memerlukan pelibatan generasi muda yang bukan sahaja perlu menjadi pemimpin masa hadapan, tetapi pelindung dan penjaga identiti masyarakat Iban masa kini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan IWCT turut memberi tumpuan kepada pertandingan kraftangan bagi program 2025-2026 kerana percaya bidang berkenaan memainkan peranan penting dalam memelihara identiti dan warisan Iban.

Jelasnya, sambutan terhadap Pertandingan Kraf Tangan IWCT itu juga amat menggalakkan apabila seramai 111 peserta dari seluruh bahagian di Sarawak menghantar sejumlah 122 hasil kraf tangan untuk dipertandingkan dalam sembilan kategori.

“Sembilan kategori berkenaan termasuk Tikai Bemban Anyam Bebuah, Pua Kumbu, Kain Kebat, Kain Karap, Marik Empang/Tanggu, Baju Kuas, Parang-Nyabur Indu, Parang-Nyabur Lelaki dan Langgai Tingang.

“Ini merupakan kali pertama kami memasukkan pertukangan besi atau ngambuh dalam pertandingan ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pertandingan itu turut mencatat penyertaan daripada 71 peserta wanita dan 19 peserta lelaki dengan peserta paling berusia berumur 81 tahun manakala peserta paling muda berusia 19 tahun.

“Penyertaan terdiri daripada 105 peserta Iban, tiga peserta Cina-Iban dan masing-masing seorang Kayan-Iban, Penan-Iban serta Kiput-Iban,” katanya lagi.

Untuk rekod, IWCT telah ditubuhkan pada 2009 di bawah Ordinan Kebajikan sekali gus telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bersama-sama wanita dalam bidang latihan kemahiran, anyaman, latihan kepimpinan akar umbi serta pelbagai bengkel kraf tangan di banyak kawasan di negeri ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU