KUCHING: Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, menegaskan bahawa penggunaan label mesra Muslim pada sesebuah premis perniagaan bukan bermaksud premis berkenaan telah mendapat pengesahan halal secara rasmi.
Menurut beliau, status halal sesebuah premis hanya diiktiraf sekiranya ia memiliki sijil pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau pihak berkuasa agama yang berkaitan.
“JAKIM telah menetapkan bahawa kedai mesra Muslim atau sebarang istilah yang seumpamanya tidak membawa maksud premis itu disahkan halal. Kita akur dengan ketetapan tersebut.
“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan label sedemikian kerana JAKIM telah membuat keputusan yang jelas mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak di Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa pihaknya sentiasa proaktif dalam memantau penggunaan istilah yang boleh menimbulkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Pihak kami akan memberikan nasihat kepada pengusaha premis terbabit supaya memohon sijil halal secara rasmi. Selain itu, kami turut menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menangani isu ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai isu tular melibatkan sebuah premis makanan laut di Kuching baru-baru ini, Misnu mendedahkan bahawa pihaknya sering mendekati peniaga bagi menggalakkan mereka memohon pensijilan halal.
“Kita sentiasa menawarkan bantuan untuk proses permohonan tersebut. Malah, bayaran yang dikenakan hanya RM200 bagi tempoh dua tahun untuk mendapatkan sijil halal,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa pengusaha hotel agar segera memohon sijil halal memandangkan Sarawak bakal menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara besar termasuk penganjuran Sukan SEA akan datang.
“Apabila memiliki sijil halal, ia memudahkan urusan penyediaan hidangan kepada tetamu luar khususnya atlet dan pegawai beragama Islam dari negara lain. Oleh itu, kita amat menyarankan pihak hotel untuk mengambil inisiatif ini,” katanya.
Sementara itu, orang ramai disarankan untuk menggunakan aplikasi Jejak Halal bagi menyemak status pengesahan produk atau premis oleh JAKIM bagi mengelakkan keraguan dalam pembelian makanan dan minuman.



