ARTIKEL

| INSTAGRAM Oasis

Wonderwall bakar semangat England

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Ada sesuatu yang istimewa apabila puluhan ribu penyokong England menyanyikan lagu Wonderwall secara beramai-ramai.

Lagu itu bukan sekadar berkumandang di stadium, malah menjadi nadi yang menyatukan pemain, penyokong dan sejarah bola sepak negara berkenaan.

Pada Piala Dunia 2026, lagu popular dendangan kumpulan Oasis itu muncul sebagai salah satu simbol baharu kebangkitan England.

Setiap kali skuad The Three Lions mencatat kemenangan, para pemain akan berdiri di hadapan penyokong dan saling berpelukan sambil menyanyikan lagu Wonderwall.

“Because maybe, you’re gonna be the one that saves me. And after all, you’re my wonderwall.”

| INSTAGRAM England

Lirik tersebut cukup membuktikan bahawa Wonderwall bukan sekadar lagu kemenangan, tetapi juga lambang harapan dan keyakinan yang menyatukan pemain serta penyokong England dalam mengejar impian untuk menjulang trofi Piala Dunia.

Sebagai penyokong England sejak era generasi emas yang dibarisi Steven Gerrard, Frank Lampard, Paul Scholes dan ramai lagi, saya tidak dapat menyembunyikan keterujaan apabila melihat tradisi itu mula terbentuk.

Apabila ribuan suara bergema menyanyikan setiap bait lagu tersebut, saya turut menyanyi walaupun hanya berada di hadapan televisyen.

Mungkin itulah kuasa muzik. Muzik mampu merapatkan jarak ribuan kilometer dan membuatkan seseorang berasa seolah-olah berada di stadium bersama-sama puluhan ribu penyokong yang lain.

Bagi saya, Wonderwall bukanlah lagu pertama Oasis yang saya kenali. Sejak remaja, kumpulan dari Manchester itu sudah menjadi antara kumpulan kegemaran saya.

Lagu-lagu seperti Don’t Look Back in Anger, Stand by Me, Champagne Supernova, Live Forever, Supersonic dan Stop Crying Your Heart Out sentiasa berada dalam senarai lagu yang kerap saya dengarkan.

Setiap lagu Oasis mempunyai kekuatan tersendiri. Ada yang membangkitkan semangat, ada yang mengundang nostalgia dan ada juga yang memberikan harapan ketika berdepan dengan saat sukar.

Oleh sebab itu, pemilihan Wonderwall sebagai lagu kemenangan England terasa begitu tepat.

Sebenarnya, hubungan Oasis dengan bola sepak England bukanlah sesuatu yang baharu. Kumpulan yang dianggotai oleh adik-beradik Liam dan Noel Gallagher itu berasal dari Manchester, sebuah bandar yang tidak dapat dipisahkan daripada budaya bola sepak.

Mereka membesar sebagai penyokong tegar Manchester City ketika kelab itu masih jauh daripada status sebagai sebuah kelab gergasi seperti hari ini.

Kesetiaan mereka terhadap Manchester City sentiasa terserlah. Liam Gallagher sering kelihatan di Stadium Etihad, manakala Noel Gallagher pula pernah menjadi antara tokoh paling dikenali dalam kalangan penyokong City.

Mereka tetap memberikan sokongan ketika pasukan itu tewas, tersingkir dan bergelut di pertengahan liga, jauh sebelum menikmati era kegemilangan seperti sekarang.

Kesetiaan seperti itulah yang sangat dihargai dalam budaya bola sepak England. Penyokong tidak menilai seseorang berdasarkan jumlah trofi yang dimiliki, sebaliknya berdasarkan sejauh mana kesetiaannya terhadap kelab ketika susah dan senang.

Mungkin atas sebab itu juga, muzik Oasis begitu mudah diterima oleh penyokong bola sepak. Lagu-lagu mereka bukan sekadar berkisarkan percintaan atau kehidupan, malah sarat dengan unsur harapan, kebersamaan dan semangat untuk terus percaya meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Wonderwall pula mempunyai melodi yang mudah dinyanyikan secara beramai-ramai. Korusnya ringkas tetapi berkesan, sekali gus menjadikannya sesuai untuk bergema di stadium yang dipenuhi puluhan ribu penyokong.

Tidak hairanlah lagu itu sering berkumandang bukan sahaja di England, malah di banyak stadium di seluruh dunia.

Malah, budaya bola sepak England sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan muzik.

Sebelum ini, lagu-lagu seperti Three Lions, Sweet Caroline, Hey Jude dan Freed from Desire pernah mengiringi perjalanan pasukan serta penyokong dalam kejohanan besar.

Namun begitu, Wonderwall membawa dimensi yang sedikit berbeza. Lagu itu bukan lagu rasmi bola sepak dan tidak dicipta khusus untuk sukan berkenaan. Sebaliknya, penyokong sendiri yang mengangkatnya sebagai sebahagian daripada identiti mereka.

Bagi pemain England pula, menyanyikan lagu itu selepas kemenangan membawa mesej yang cukup jelas. Mereka bukan sekadar meraikan kemenangan, tetapi menghargai ribuan penyokong yang sanggup mengembara merentasi benua untuk memberikan sokongan.

Dalam dunia bola sepak moden yang semakin dipengaruhi oleh komersialisme, detik seperti itu mengingatkan kita bahawa jiwa sebenar sukan ini masih terletak pada hubungan antara pemain dengan penyokong.

Saya percaya ramai penyokong England mempunyai cerita yang hampir sama. Ada yang mengenali Oasis melalui radio, kaset atau cakera padat pada era 1990-an.

Ada juga dalam kalangan generasi baharu yang menemui lagu-lagu mereka menerusi platform penstriman digital. Walau apa-apa pun latar belakang mereka, akhirnya mereka berhimpun di tempat yang sama, iaitu stadium, sambil menyanyikan lagu yang sama dengan penuh emosi.

Itulah keindahan bola sepak. Sukan ini bukan sekadar tentang taktik, formasi atau jaringan yang menarik. Bola sepak juga berkisarkan lagu yang dinyanyikan bersama-sama, pelukan selepas wisel penamat dan kenangan yang terus hidup meskipun bertahun-tahun telah berlalu.

England mungkin masih belum mengetahui sama ada trofi Piala Dunia 2026 akan menjadi milik mereka.

Namun begitu, satu perkara sudah pasti. Jika Wonderwall terus bergema selepas setiap kemenangan, lagu itu akan kekal sebagai sebahagian daripada kenangan indah kejohanan ini.

Sebagai penyokong England yang membesar bersama-sama muzik Oasis, saya berharap lagu itu akan terus dinyanyikan hingga ke malam perlawanan akhir sekiranya England berjaya menewaskan Argentina dalam aksi separuh akhir esok.

Kadangkala, sebelum sesebuah pasukan menjulang trofi, pasukan itu terlebih dahulu memenangi hati penyokong. Muzik seperti Wonderwall mengingatkan kita bola sepak bukan sekadar permainan selama 90 minit, tetapi juga kisah tentang harapan, kesetiaan dan impian yang dikongsi oleh berjuta-juta manusia di seluruh dunia.

BERITA LAIN

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU