KUCHING: Mahkamah Bumiputera Sarawak akan bekerjasama rapat dengan Unit Pentadbiran bagi memastikan reka bentuk setiap bangunan pejabat daerah menyediakan ruang untuk sebuah bilik Mahkamah Bumiputera.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, inisiatif ini untuk memastikan pentadbiran keadilan Bumiputera dapat diperkasakan dengan suasana harmoni, teratur dan profesional.
“Perancangan yang teliti ini akan memastikan pentadbiran keadilan Bumiputera dapat dijalankan dalam suasana bermaruah, teratur dan profesional.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kukuh kita untuk memastikan setiap pelosok Sarawak dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan awam yang moden, berfungsi dan mudah diakses demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-19 di DUN, hari ini.
Bagi memperkasakan lagi sistem tersebut, beliau menegaskan reka bentuk, perabot dan peralatan bagi setiap bilik mahkamah akan diseragamkan di seluruh negeri.
Katanya, penyeragaman itu akan meningkatkan kecekapan operasi sambil memelihara integriti dan kewibawaan Sistem Mahkamah Bumiputera di Sarawak.
Tegas Sikie, motif serta reka bentuk tempatan yang mewakili kepelbagaian komuniti peribumi di Sarawak akan diterapkan dalam setiap bilik mahkamah.
“Elemen budaya ini akan memperkaya identiti bilik mahkamah serta mencerminkan tradisi, nilai dan sejarah yang menjadi panduan mahkamah Bumiputera dalam melaksanakan keadilan.
“Pada masa sama kerajaan akan memastikan bilik-bilik mahkamah ini dilengkapi dengan infrastruktur yang menyokong penggunaan teknologi digital pada masa hadapan,” ujarnya.


