Wujudkan ekosistem jadikan masyarakat berakhlak

BETONG: Masyarakat Melayu di negeri ini diingatkan supaya kembali mengamalkan cara hidup Islam epenuhnya seperti ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Profesor Emiritus Datuk Abang Abdullah Abang Ali (gambar) memberitahu, contoh terbaik yang dipamerkan oleh Rasulullah berjaya menarik minat tamadun lain termasuk di Eropah untuk menerima Islam sehingga mampu berkembang dengan pesat sampai ke Morocco, Sepanyol, malah Perancis dan ke sini.

“Tetapi, lama-kelamaan kita tahu ramai daripada umat Islam, orang Melayu di Sarawak tidak mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya. “Selain itu, terdapat banyak masalah sosial, konflik dalamam sehingga tidak lagi menjadi contoh yang baik.

“Justeru, proses transformasi itu harus berlaku daripada keadaan kita yang tidak begitu baik ketika ini, kita hendak mengubahnya kepada keadaan seperti yang ditetapkan mengikut tanda aras Rasulullah.

“Maka, dalam proses transformasi tersebut perlu diwujudkan satu ekosistem untuk menjadikan masyarakat kita betul-betul beriman, beramal dan berakhlak. Ini penting jika kita hendak mengguna pakai penanda aras Rasulullah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi e-Seminar Pembangunan Melayu Sarawak: Antara Harapan dan Realiti yang bertemakan melestarikan kekuatan ummah anjuran Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (Lakis) dengan kerjasama Persatuan Warga Islam Saribas (Perwaris) dan Dewan Bahasa serta Pustaka (DBP) Sarawak, kelmarin.

Kedua jelasnya, masyarakat Melayu Sarawak tidak boleh lari daripada aktiviti yang disyorkan oleh Rasulullah seperti tarbiyah, dakwah, jihad.

“Ini perlu dilakukan bagi mendidik masyarakat yang betul-betul mahu maju dan berjaya. “Dan ketiga, meningkatkan usaha pendidikan dan latihan kemahiran,” katanya.

Bagaimanapun, kesemua itu perlu didukung oleh tiga faktor penting dan salah satunya ialah kepimpinan. “Sekiranya kita memiliki pemimpin yang mempunyai kekuatan, baik, amanah, berilmu, berakhlak dan sebagainya…Insya-Allah kita mudah untuk membangun.

“Faktor kedua, kita perlu bersatu dan hidup dalam keadaan aman. Kebanyakan tamadun yang berjaya, mereka hidup bersatu dan aman dalam jangka masa panjang.

“Terakhir ialah menjadi sebuah masyarakat yang berdaya saing agar kita dapat menjadi kompetitif dalam dunia sekarang yang sema-kin mencabar,” jelasnya.

E-Seminar melalui aplikasi Meet dikendalikan oleh Pengerusi Lakis Dr. Abang Ismail Abang Julhi.