BINTULU: Seni mempertahankan diri seperti wushu bukan sahaja mengukuhkan fizikal, malah menjadi lambang warisan budaya yang membentuk sahsiah, disiplin dan perpaduan dalam masyarakat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurut beliau, wushu mengangkat nilai membina diri, menyuburkan akhlak serta memupuk semangat berkenalan melalui seni bela diri, yang menjadi asas kepada pembentukan modal insan berintegriti dan masyarakat yang harmoni.
“Wushu bukan sekadar sukan. Ia mendidik kita memperbaiki diri, menghormati guru dan mengamalkan nilai murni. Semangat inilah yang menyumbang kepada perpaduan serta kemajuan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau, Steven Kong Kai Seng pada Kejohanan Wushu Bahagian Bintulu 2025 dan Pemilihan Pasukan Wushu Zon Utara Sukan Sarawak (SUKSAR) 2026 yang berlangsung di Boulevard Shopping Mall, di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Bintulu itu turut memuji pencapaian Persatuan Wushu Jun Wei Bintulu yang sekian lama cemerlang dalam pelbagai kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Kejayaan yang dicapai atlet Bintulu membuktikan persatuan ini komited membangunkan bakat tempatan dan memartabatkan sukan wushu,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, selain aspek teknikal, persatuan tersebut turut memberi penekanan kepada pembentukan akhlak, disiplin dan sikap hormat-menghormati dalam kalangan pelajar yang disifatkannya sebagai aset terpenting bagi anak muda.
Tambahnya, sukan seperti wushu juga membantu membina ketahanan mental, menjauhkan belia daripada pengaruh negatif serta membentuk gaya hidup sihat dan positif.
Dalam ucapan, Tiong King Sing turut merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Wushu Sarawak, Majlis Sukan Sarawak, dan Perbadanan Sukan Sarawak atas sokongan padu terhadap penganjuran kejohanan tersebut.
“Kerjasama antara kerajaan dan masyarakat adalah kunci kepada ekosistem sukan yang lebih kuat di Sarawak. Saya berharap lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan,” katanya.
Beliau turut mendoakan kejayaan semua atlet bertanding sambil mengingatkan bahawa kemenangan bukan matlamat utama.
“Yang lebih penting ialah keberanian mencuba, pengalaman bertanding dan nilai yang dipelajari sepanjang perjalanan,” katanya sambil menyampaikan penghargaan kepada penganjur, petugas, ibu bapa dan para penaja yang menjayakan kejohanan tersebut.

