PETALING JAYA: World Wide Fund for Nature, Malaysia (WWF-Malaysia) menggesa kerajaan di seluruh Asia Tenggara memperkukuh kerjasama serantau bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan.
Pengarah WWF-Malaysia, Dr Jason Hon, berkata keadaan jerebu melanda Kuala Lumpur dan Sarawak sehingga mencapai tahap sangat tidak sihat, termasuk penutupan sekolah di beberapa kawasan, memerlukan tindakan lebih bersepadu.
“Kerjasama ini amat penting untuk mengambil tindakan tegas dalam sempadan negara masing-masing.
“Walaupun sesetengah kebakaran mungkin berpunca dari luar Malaysia, usaha mencegah dan menguruskan kebakaran di negara ini juga sama penting,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, perhatian khusus perlu diberikan kepada kawasan tanah gambut yang berperanan sebagai penyimpan karbon dan penampan semula jadi terhadap kebakaran.
Sarawak mempunyai kira-kira 1.7 juta hektar tanah gambut — kawasan terbesar di Malaysia, yang penting dari aspek alam sekitar serta sumber ekonomi.
“Dalam keadaan semula jadi, tanah gambut menyimpan karbon dan air yang berfungsi sebagai penampan terhadap kebakaran.
“Namun, apabila dikeringkan atau mengalami kemerosotan, paras air akan menurun menyebabkan tanah gambut menjadi kering dan mudah terbakar,” katanya.
Jason berkata kebakaran tanah gambut yang berlaku baru-baru ini di Sri Aman, Daro dan Kuala Baram memberi gambaran mengenai risiko kebakaran berskala lebih besar serta kesukaran dan kos tinggi untuk mengawalnya.
Menurutnya, usaha mengurangkan kebakaran tanah gambut memerlukan pendekatan bersepadu, proaktif dan jangka panjang, bukan sekadar bergantung kepada tindak balas kecemasan.
“Usaha utama termasuk mengekalkan paras air yang tinggi serta memperkukuh sistem pencegahan kebakaran dan amaran awal.
“Kita percaya terdapat keperluan mendesak untuk menangani jerebu dari puncanya dan menjadikan jerebu rentas sempadan sebagai tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau berkata setiap musim jerebu perlu menjadi peringatan bahawa kemerosotan alam sekitar boleh mencetuskan krisis kesihatan awam, kerugian ekonomi dan menjejaskan kualiti hidup.


