605 pelajar Politeknik Mukah dapat sumbangan makanan dari Adun Tellian

MUKAH: Seramai 605 orang pelajar Politeknik Mukah bakal menerima bantuan makanan yang disumbangkan oleh Adun Tellian, Yusibnosh Balo bermula pada hari esok.

Menurut Pegawai Khasnya Cr Felix Peing, bantuan berupa makanan tersebut merupakan inisiatif beliau bagi membantu pelajar yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 kini.

Jelasnya Yusibnosh Balo bersetuju memberikan bantuan makanan tersebut berjumlah RM13 untuk seorang pelajar dan akan diberikan secara tiga kali sehari sehingga hujung bulan ini.

“Usaha ini kita jalankan kerana ramai ibu bapa yang tidak dapat keluar dari rumah dan menghantar wang saku kepada anak-anak mereka sepanjang tempoh PKP ini

“Pembayaran kita akan kita buat kepada pihak Koperasi Politeknik dan seterusnya pihak Koperasi akan membayar kepada pihak katering yang diselia oleh pihak Polikteknik Mukah ini,”katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Selain itu katanya bantuan tetap tersebut teruskan sementara menunggu bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Pengarah Politeknik Mukah Dullah Muluk turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas usaha Yusibnosh Balo melalui sumbangan makanan dan minuman untuk tempoh satu minggu tersebut yang sedikit sebanyak meringankan beban pelajar.

“Saya menasihatkan pelajar-pelajar PMU untuk mematuhi PKP ini sepenuhnya dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

“PMU sentiasa menjaga kebajikan para pelajar dari masa ke semasa dan juga memastikan tahap kesihatan pelajar terjaga sepenuhnya,” katanya.

Melalui sumbangan tersebut pelajar yang terdiri dari 316 pelajar lelaki dan 289 pelajar perempuan akan diberikan makanan yang dibungkus khas disediakan melalui lapan kaunter di kafe yang diuruskan Majlis Perwakilan Pelajar & Jawatankuasa Pelajar Kolej kediaman.

Difahamkan bagi sarapan pagi akan disediakan di koperasi, makan tengah hari akan disediakan bermula jam 12 tengah hari oleh pihak kafe dan makan malam juga disediakan oleh pihak kafe pada jam 5 petang.

Suara Sarawak