Yahoo…kami pulang!

KOTA SAMARAHAN: Seramai 127 pelajar untuk kumpulan pertama dari Sarawak yang menuntut di Unimas dan IPT di sekitarnya, semalam memulakan pergerakan pulang ke rumah masing-masing menggunakan lapan bas yang akan diiringi oleh polis.

Menurut Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, perjalanan untuk hari pertama akan membawa semua pelajar ke Sibu.

“Setiap bas membawa 20 pelajar dan apabila tiba di Sibu, pihak pengurusan akan menentukan langkah seterusnya ke setiap destinasi utama mereka.

“Kita akan menghantar pelajar ini secara berperingkat-peringkat. Bas-bas ini akan disanitasi terlebih dahulu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBN) untuk tujuan keselamatan termasuk setiap pelajar disaring terlebih dahulu oleh Pusat Kesihatan Unimas.

“Manakala untuk pelajar dari Semenanjung Malaysia, mereka akan mula pulang ke kampung hari esok menggunakan penerbangan pada jam 1.30 petang,” katanya ketika ditemui di Tapak Dataran Kolej Cempaka semalam.

Jelasnya lagi proses-proses tersebut akan berulang-ulang sehingga semua pelajar selamat dihantar pulang.

“Ia akan mengambil masa beberapa hari sehingga selesai. Unimas diberi tanggungjawab untuk menyelaras pergerakan semua pelajar IPT untuk pulang ke destinasi masing-masing di seluruh Sarawak.

“Kita membuat kerjasama dengan rakan IPT lain. Kita akan melakukan terbaik bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua pelajar supaya mereka selamat sampai ke destinasi masing-masing,” katanya.

Beliau turut menghargai kerjasama yang diberikan oleh PDRM dalam memastikan keselamatan setiap pelajar dan menjalankan operasi mengikut langkah SOP yang ditetapkan oleh MKN.

“Di Unimas, kita ada 4,000 pelajar yang akan pulang dan setakat ini masih mengumpul maklumat-maklumat jumlah pelajar dari IPT yang lain.

“Manakala 2,900 pelajar lagi akan balik ke Semenanjung Malaysia dan Sabah,” katanya.

Difahamkan semua pelajar bertolak pada jam 11 pagi semalam setelah semua urusan dokumentasi dan pengesahan selesai oleh pihak pengurusan.

Untuk hari pertama, Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) Sibu semalam turut memulakan urusan penghantaran pulang pelajar ke seluruh Sarawak menggunakan bas dan proses keduanya berlangsung hari ini.

Ia juga mendapat kerjasama Politeknik Betong, Politeknik Mukah dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu yang dijadual secara berperingkat-peringkat sehingga 3 Mei ini.

Ibu bapa dinasihati supaya memberi kerjasama dan bersabar dengan proses penghantaran pulang anak mereka.