Yakin kemampuan pemimpin muda

KUCHING: Saberkas Cawangan Pantai Damai menyaksikan perubahan kepimpinan selepas Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi melepaskan jawatan sebagai pengerusi.

Dr Abdul Rahman yang merupakan Naib Presiden Saberkas melepaskan jawatan tersebut bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu dan muda untuk mentadbir pertubuhan belia tersebut di Pantai Damai.

Jawatan yang ditinggalkan Dr Abdul Rahman kini disandang oleh Mohd Hasfa Saleh yang merupakan timbalan pengerusi sebelum ini.

Menurutnya, kepimpinan Saberkas Cawangan Pantai Damai perlu melakukan perubahan dalam aspek kepimpinan untuk memberi kepercayaan kepada pemimpin muda.

“Kita percaya dengan kemampuan pemimpin muda kerana mereka mempunyai idea yang bernas dan terkini. “Dengan kelebihan ini, saya percaya pemimpin muda mampu menggalas tanggungjawab ini, sekali gus meletakkan Saberkas Cawangan Pantai Damai ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tritahunan Saberkas Cawangan Pantai Damai Sesi 2020-2023 di sini, kelmarin.

Dr Abdul Rahman menjelaskan, Saberkas merupakan medan terbaik untuk melahirkan pemimpin muda. “Pengekalan orang lama dalam Saberkas adalah untuk menjadi pembimbing atau cikgu kepada pemimpin muda.

“Gabungan pemimpin lama dan baharu amat penting untuk meneruskan kesinambungan ilmu serta panduan kepimpinan,” katanya.

Malah menurutnya, pindaan juga telah dilakukan terhadap perlembagaan Saberkas dengan menyaksikan kepimpinan diterajui 70 peratus pemimpin muda dan 30 peratus pemimpin lama.

“Nisbah ini digunakan bagi menentukan kepimpinan Saberkas peringkat negeri, cawangan dan unit,” tambahnya. Dr Abdul Rahman menambah, setakat ini, terdapat 76 cawangan Saberkas di seluruh negeri.

Bagi pemilihan exco baharu, Merdehi Mas dan Abdul Adzim Azmi Abdul Rahman dipilih sebagai Naib Pengerusi Saberkas Cawangan Pantai Damai sesi 2020-2023 selepas menang tanpa bertanding.

Ahli jawatankuasa yang turut menang tanpa bertanding terdiri daripada Sebeki Jen, Haslinda Azmi, Misniah Mail, Azlan Hassan, Rozy Panting dan Nur Azmina Arip. Timbalan Setiausaha Agung Saberkas Kho Swee Aik turut hadir.

Suara Sarawak