KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hadir memberikan penghormatan terakhir terhadap mendiang Datuk Song Swee Guan, hari ini.
Pasangan itu tiba pada jam 12.25 tengah hari mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai tanda dukacita dan penghormatan kepada mendiang.
Ketibaan mereka disambut ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap dan ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang, serta ahli keluarga mendiang.
Kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah sekali gus mencerminkan penghormatan terhadap sumbangan serta jasa Swee Guan kepada masyarakat dan negeri.
Dalam pada itu, Tun Wan Junaidi serta isteri berkesempatan meluangkan masa bersama-sama keluarga mendiang sebelum berangkat pulang.
Sementara itu, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut hadir memberikan penghormatan terakhir pada pagi yang sama sekitar jam 10 pagi.
Beliau turut diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta barisan kepimpinan yang lain.
Terdahulu, Swee Guan disahkan meninggal dunia pada usia 84 tahun, Ahad (4 Oktober 2026), jam 3.30 petang di Hospital Umum Sarawak.


