TANJUNG MANIS: Seramai 144 orang pelajar kawasan DUN Kuala Rajang Zon Tanjung Manis menerima sumbangan Baucer Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak, hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di Pejabat Daerah Tanjung Manis itu disempurnakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Menurutnya, penerima terdiri daripada 77 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, 25 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Abg Gesa, SK Abg Buyuk (11), SK Abg Galau (6), SK Tanjung Manis (6), SK Stalon (9) dan SK Bayang (10).
“Saya berharap semua penerima memanfaatkan sepenuhnya sumbangan yang dihulurkan.
“Pemberian itu juga menzahirkan hasrat murni kerajaan untuk melihat anak muda Kuala Rajang mengecapi kehidupan masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak tetap komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan pembangunan pendidikan di negeri ini.
Jelasnya, ini adalah bukti jelas betapa serius kerajaan berusaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti kepada setiap lapisan masyarakat.


