DATUK YUSOF HASLAM mendedahkan beliau pernah mencagarkan sijil kelahiran anaknya, Syamsul Yusof, kepada pemberi pinjaman wang tidak berlesen bagi mencukupkan modal awal Skop Productions untuk menerbitkan drama pertama syarikat itu pada 1985.
Langkah itu diambil bagi memenuhi keperluan mendapatkan surat jaminan bank apabila RTM membuka tender penerbitan drama bernilai RM300,000 menerusi pelaksanaan projek penswastaan.
Yusof, yang menubuhkan Skop Productions selepas Restoran Haslam beroperasi kira-kira lima bulan berkata, peluang itu hadir hasil galakan rakan baiknya, Datuk Latifi, yang ketika itu pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP).
Menurutnya, perkenalan dengan Latifi bermula ketika penggambaran filem Bukit Kepong, yang disifatkan sebagai titik penting dalam perjalanan kerjayanya.
Latifi mencadangkan supaya beliau menerbitkan drama berbentuk kepolisan, memandangkan drama kekeluargaan sudah banyak diterbitkan pada waktu itu.
Yusof mengakui beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai dunia kepolisan, namun Latifi berjanji membantu dari segi rujukan dan kandungan.
Beliau berkata, ketika itu modal sedia ada hanyalah RM20,000 sedangkan jumlah minimum bagi mendapatkan surat jaminan bank ialah RM45,000. Usaha meminjam daripada rakan-rakan untuk membantu menampung sebahagian kos, namun masih tidak mencukupi.
Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa mendapatkan pinjaman daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen. Drama pertama terbitan Skop Productions berjudul Remangremang Kota Raya dan diterbitkan lima episod.
Judul drama itu turut dicadangkan oleh Latifi. Pengorbanan tersebut membuahkan hasil apabila Skop Productions berjaya memperoleh kontrak bernilai RM300,000 daripada RTM, sekali gus membuka laluan kepada penerbitan drama kedua, ketiga dan seterusnya.
Selain galakan rakan, keputusan Yusof untuk beralih kepada bidang penerbitan turut dipengaruhi pesanan arwah bapanya yang meminta beliau mencari pekerjaan lain kerana bidang lakonan dianggap tidak menjamin masa depan. Yusof mengimbau perjalanan awal kerjayanya — pernah bekerja sebagai konduktor bas sebelum menyertai Merdeka Film milik Shaw Brothers.
Beliau kemudiannya berlakon dalam filem Permintaan Terakhir arahan Datuk Jamil Sulung dengan bayaran RM1,500 yang disifatkan sebagai lumayan pada waktu itu.
Bagaimanapun, arwah bapanya tidak bersetuju dengan pelibatan beliau dalam dunia lakonan dan berulang kali mengingatkan supaya beliau tidak bergantung sepenuhnya kepada industri tersebut.
Selepas kematian bapanya akibat kanser, Yusof mula sedar realiti industri filem tempatan yang kecil dan tidak menawarkan kesinambungan kerjaya apabila, dalam tempoh setahun, beliau hanya mendapat satu tawaran filem.
Dalam masa yang sama, nasihat daripada abangnya turut menguatkan keputusannya untuk lebih realistik, memandangkan industri filem tempatan tidak seperti di Hollywood.
Bagi menampung kehidupan, Yusof melakukan pelbagai pekerjaan sampingan termasuk menjual kereta terpakai dan pakaian bundle.
Selepas lima tahun menerbitkan drama dan menghasilkan lebih 40 judul, Yusof akhirnya memberanikan diri menerbitkan filem.
Filem pertama terbitan Skop Productions, Bayangan Maut yang dibintangi Noor Kumalasari dan Ella mencatat kutipan RM1 juta di pawagam, meskipun sambutan terhadap filem Melayu ketika itu dilaporkan lesu.
Yusof mengakui beliau hampir membatalkan hasrat menerbitkan filem tersebut berikutan kebimbangan melihat ramai penerbit gulung tikar selepas menghasilkan satu atau dua filem.
Sokongan isteri menjadi faktor penting yang mendorong beliau meneruskan projek berkenaan, memandangkan beliau sudah mempunyai sumber pendapatan lain melalui perniagaan restoran.
Kejayaan Bayangan Maut disusuli filem Pemburu Bayang yang mencatat kutipan RM1.8 juta, sebelum Skop Productions mencipta kejayaan lebih besar menerusi Sembilu dengan kutipan RM4.7 juta.
Sambungan filem tersebut, Sembilu II pula merekodkan kutipan RM6 juta, sekali gus melayakkan Yusof digelar sebagai “Six Million Dollar Man”.



