KUCHING: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim mesti dikenakan tindakan undang-undang dan disekat daripada masuk ke Sarawak, tegas ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim.
Beliau yang mengecam sekeras-kerasnya pandangan Zaid berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin itu, yang menyifatkan Sabah dan Sarawak sebagai beban kepada Malaysia, jelas berbahaya dan cubaan memecahbelahkan perpaduan Persekutuan serta membangkitkan kebencian.
Menurutnya, kenyataan seperti itu adalah hasutan dan beliau menyeru pihak berkuasa supaya menggunakan undang-undang yang ada untuk mengambil tindakan, khususnya Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sering disebut kerajaan pusat bagi memastikan akauntabiliti.
“Kenapa beliau boleh bercakap tentang keluar daripada Persekutuan dan membubarkan Malaysia sedangkan itu satu jenayah.
“Kita ada Akta Hasutan dan kita ada Akta Komunikasi dan Multimedia. Kenapa tidak digunakan? Kalau boleh saya sebut, tangkap Zaid petang ini juga, jangan tunggu esok.
“Beliau juga harus dihalang daripada masuk ke Sarawak. Kalau ini dibiarkan, esok lusa siapa pula?” soalnya.
Penolong Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Beliau menyeru pihak berkuasa supaya bertindak segera tanpa menunggu laporan polis kerana tindakan Zaid dianggap melanggar peraturan keharmonian, menghasut dan menyebarkan fitnah.
Menurut beliau, semua pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) jelas menunjukkan kesetiaan kepada Malaysia dan mengecam tindakan Zaid yang didakwa mengancam keharmonian negara.
“Saya dan semua wakil rakyat GPS mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Zaid. Beliau bukan sahaja dangkal dari sudut sejarah, malah berbahaya kepada hubungan Persekutuan–Negeri.
“Jadi bagaimana seorang bekas menteri dan pengamal perundangan boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal?
“Fakta jelas menunjukkan sumbangan Sabah dan Sarawak kepada Persekutuan mencecah beratus bilion ringgit, terutama daripada hasil minyak, gas dan sumber asli. Beban ini lah yang paling banyak membantu membiayai pembangunan di Semenanjung,” katanya.
Pendirian Hamzah itu turut disokong oleh Timbalan Speaker, Datuk Idris Buang yang berkata Zaid perlu segera ditangkap.
Dua minggu lalu menerusi “The Zaid Ibrahim Podcast”, Zaid memberi pandangan sinis dan tajam tentang dilema Kerajaan Persekutuan dalam kes tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Zaid bertegas bahawa Kerajaan Perpaduan sepatutnya merayu keputusan mahkamah demi kepentingan negara sambil mendedahkan sejarah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai tidak adil serta mempersoal pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat lebih berunsur politik berbanding ekonomi.


