KUCHING: Keterujaan buat Zaidi Tulos, 38, apabila menjadi individu pertama memperoleh baucer kemasukan percuma pakej keluarga ke Borneo Empurau Farm & Resort (BEFR).
Pemuda berasal dari Kuching itu berjaya menjawab beberapa soalan disediakan selepas mengunjungi reruai pameran BEFR di pusat beli belah Plaza Merdeka sempena program Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia.

“Cukup gembira dan tidak menjangka boleh mendapat baucer percuma untuk kemasukan di BEFR.
“Saya belum pernah menjejak kaki ke situ (BEFR) dan hanya mengetahui tempat perternakan ikan termahal di Malaysia melalui media sosial dan sebagainya,” ujar Zaidi ketika ditemui selepas majlis penyerahan ringkas baucer berkenaan sebentar tadi yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif BEFR, Jerry Yong.
Turut sama mengunjungi reruai BEFR ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang dan Pengarah BEFR, Abdullah Jawawi.
Menurut Abdullah, orang ramai berpeluang mendapatkan baucer kemasukan percuma ke BEFR yang terletak di Tarat, Serian.
Baucer terbabit boleh didapati di reruai pameran BEFR sepanjang tiga hari (17 – 19 Oktober) program Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia yang berlangsung di ruang legar pusat beli belah Plaza Merdeka.
“Anda perlu berkunjung ke pusat pameran BEFR yang terdapat di Plaza Merdeka sepanjang tiga hari itu.
Pada masa sama, anda hanya perlu menjawab beberapa soalan mudah yang diberikan menerusi secara atas talian,” ujar Abdullah.
Sekiranya berjaya menjawab soalan tersebut, anda akan diarah untuk melakukan cabutan bertuah dan berpeluang mendapatkan baucer percuma berkenaan.
Pakej baucer percuma disediakan pihaknya adalah untuk keluarga, dewasa dan kanak-kanak
Abdullah pada masa sama menyatakan, baucer berkenaan sah diguna pakai sehingga 31 Disember 2025.



