Zakat fitrah, tidak perlu berjabat tangan

KUCHING: Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), umat Islam di negeri ini digalakkan membayar zakat fitrah RM7 seorang melalui kaedah atas talian, jelas Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.

Menurutnya, zakat fitrah boleh dibayar di portal Pelanggan TBS (Baitulmal Kamek) di https://pelanggan.tbs.org.my/.

“Pengguna boleh melayari portal Baitulmal Kamek ini ataupun membayar melalui Maybank2u, myEg dan Snap N Pay.

“Melalui keadah ini, tiada masalah untuk mereka membuat pembayaran.

“Zakat fitrah wajib dibayar oleh umat Islam pada bulan Ramadan.

Dalam tempoh PKP, TBS mengambil pelbagai pendekatan membantu memudahkan pembayaran zakat.

“Salah satunya melalui amil zakat fitrah,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Katanya, seramai 779 amil telah dilantik di seluruh Sarawak dan mereka menunggu di rumah atau masjid, tetapi tertakluk kepada perkembangan PKP.

“Mereka juga akan dibekalkan topeng muka dan sanitasi tangan. Proses kutipan zakat kali ini tidak memerlukan mereka berjabat tangan dengan pembayar zakat, sebaliknya hanya menyebut dan menghulurkan wang zakat, seterusnya kupon akan diberikan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, bagi pembayaran zakat harta, pembayar digalak menggunakan pembayaran atas talian.

Untuk pertanyaan, hubungi TBS melalui Facebook Tabung Baitulmal Sarawak atau pertanyaan soalan ke e-mel admin@ tbs.org.my