SIBU: Zon Ekonomi Sibu bakal diwujudkan dengan peruntukan awal RM1.5 bilion sebagai agensi pembangunan pertama di Sarawak yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan bandar secara menyeluruh.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan itu berbeza daripada agensi pembangunan wilayah sedia ada yang lebih memfokuskan pembangunan infrastruktur, sektor pertanian dan penyediaan kemudahan asas.

Menurutnya, pembangunan Sibu memerlukan pendekatan berbeza berikutan keadaan geografinya, termasuk kedudukan tanah yang lebih rendah daripada paras sungai sehingga memerlukan kaedah kejuruteraan dan perancangan bandar yang khusus.
“Saya bersetuju untuk mewujudkan satu agensi yang berbeza daripada agensi lain, iaitu Zon Ekonomi Sibu (Sibu Economic Zone), kerana pembangunan ekonomi Sibu lebih kompleks, khususnya dalam sektor perkhidmatan.

“Sebagai permulaan, saya akan memperuntukkan RM1.5 bilion dalam Belanjawan Sarawak akan datang bagi Zon Ekonomi Sibu,” katanya ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut pada sidang media selepas majlis itu, Abang Johari berkata proses perancangan dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun sebelum pelaksanaan bermula secara berperingkat.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal dan sektor swasta bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta berkesan.
“Selain itu, kajian terperinci termasuk pelan induk pembangunan bandar akan disediakan bagi mengenal pasti keperluan sebenar serta potensi ekonomi Sibu untuk jangka panjang.

“Pembangunan itu turut meliputi usaha menangani masalah air bertakung dan banjir melalui pembinaan tasik buatan serta sistem saliran yang lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, sektor perkhidmatan seperti pelancongan, kewangan, insurans dan perkhidmatan profesional akan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sibu apabila infrastruktur bandar dipertingkatkan.

Sehubungan itu, katanya, istilah Zon Ekonomi Sibu digunakan kerana pembangunannya bersifat pelbagai dimensi, merangkumi pembangunan bandar, pelancongan dan aktiviti ekonomi berkaitan.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee mencadangkan supaya sebuah agensi ekonomi khas diwujudkan bagi merancang dan melaksanakan pembangunan ekonomi Sibu secara lebih menyeluruh.

Katanya, langkah itu mampu memperkukuh peluang pekerjaan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di zon tengah Sarawak.
“Cadangan ini dikemukakan hasil perbincangan bersama wakil rakyat di kawasan Sibu yang melihat keperluan sebuah badan khusus bagi memacu aktiviti ekonomi bandar berkenaan.
“Agensi itu bukan sekadar berperanan merancang pembangunan, malah bertanggungjawab melaksanakan inisiatif ekonomi daripada perusahaan kecil dan sederhana sehingga industri berskala besar,” katanya.


