SELEPAS mengikat tali pertunangan pada April lalu, penyanyi Zubir Khan akhirnya menyempurnakan ikatan cinta apabila sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Dr. Heama Maleini Balasubramaniam dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Zubir atau nama sebenarnya Muhammad Zubir Mohamad Ali, 26, melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz sebelum menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada isterinya.
Pada hari penuh bermakna itu, kedua-dua mempelai tampil segak dan anggun dalam persalinan tradisional India berwarna merah yang menyerikan lagi suasana majlis.
Berkongsi detik istimewa itu, Dr. Heama mengakui dirinya diselubungi rasa gementar sebelum akad nikah berlangsung, namun lega apabila Zubir berjaya melafazkan akad nikah dengan lancar.
“Pada mulanya saya agak gementar, tetapi awak sudah melakukan yang terbaik dengan hanya melafazkan sekali akad nikah.
“Ia menunjukkan rasa sayang awak kepada saya. Terima kasih,” katanya memetik laporan tempatan.
Untuk rekod, Zubir dan Dr. Heama mengikat tali pertunangan pada April lalu selepas menjalinkan hubungan cinta.
Dr. Heama merupakan lepasan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubatan Bioteknologi.
Sebelum ini, Zubir pernah menjelaskan isterinya memilih untuk mengekalkan nama asal selepas berkahwin kerana pertukaran nama bukan satu kewajipan di Malaysia, selain lebih memudahkan segala urusan rasmi dan profesional.



