BUKAN sahaja perlu bersedia menghidupkan watak di hadapan kamera, pelakon Zulin Aziz turut perlu memastikan penampilannya bersesuaian dengan tuntutan karakter yang dibawakan.
Bagi Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, 37 berkata, perubahan fi zikal bukan sesuatu yang asing dalam dunia lakonan, malah ia antara pengorbanan yang perlu dilakukan apabila tuntutan kerja memerlukan penampilan tertentu.
Justeru, beliau memilih untuk lebih menjaga pengambilan makanan sehingga berjaya mencapai berat badan yang diinginkan.
“Sekarang ini berat badan saya 54 kilogram.
Tinggal nak bersenam dan kekalkan sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Kongsinya lagi, menurunkan berat badan bukanlah penghujung kepada usaha yang dilakukan kerana cabaran sebenar baginya kini adalah memastikan perubahan itu dapat dikekalkan.
“Cabaran sebenar?
Nak kekalkan,” jelasnya.
Dalam perkongsian sama, Zulin turut memuat naik tangkap layar sebuah laporan media yang sebelum ini membincangkan usahanya menurunkan berat badan bagi mendapatkan penampilan lebih langsing ketika beraksi di hadapan kamera.
Katanya, sekiranya sesuatu watak memerlukan seseorang pelakon tampil dalam bentuk fi zikal tertentu, mereka perlu bersedia melakukan perubahan demi memastikan karakter yang dibawakan kelihatan lebih meyakinkan.
“Kalau tuntutan kerja memerlukan anda kelihatan dalam penampilan tertentu untuk menjayakan watak tersebut, jadi kenalah diet,”tambahnya.
Bagi Zulin, penjagaan penampilan juga menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pelakon memandangkan setiap karakter mempunyai keperluan visual berbeza, terutama apabila ia dipaparkan di hadapan kamera.



