KUCHING: Hiburan merupakan sektor penting yang menyumbang secara signifikan kepada industri pelancongan dengan menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan pengalaman keseluruhan mereka.
Justeru, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng, menggesa penduduk tempatan menyokong mana-mana perniagaan dan jenama tempatan, termasuk K11 Karaoke Signature, yang merupakan jenama hiburan tempatan.
Beliau berkata terdapat banyak perniagaan baharu yang muncul selepas COVID-19 di sekitar bandar raya ini menunjukkan tanda pemulihan ekonomi yang teguh di Sarawak.
“Saya tidak ingat pembukaan berapa banyak (kedai perniagaan) yang telah saya kunjungi sejak pasca COVID-19. Saya percaya ini adalah petanda yang baik.
“Selain melindungi dan memelihara keamanan dan keharmonian di Sarawak, saya berharap kita semua akan menyokong jenama dan perniagaan tempatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian mewakili Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, untuk merasmikan K11 Karaoke Signature yang pertama di Sarawak di La Promenade Mall di sini, hari ini.
Cawangan Signature di tapak pembangunan utama Hock Seng Lee seluas 200 ekar ini mengandungi lebih banyak bilik, peralatan premium dan bilik besar serta mewah, yang boleh memuatkan lebih 30 orang dengan selesa.
Bilik bertema untuk keseronokan keluarga, termasuk bilik karaoke Anime Cat, menawarkan pengalaman hiburan mewah buat semua.
Secara keseluruhan, cawangan baharu ini mempunyai 35 bilik, termasuk Bilik Deluxe, VIP, Infinite, Silver, Gold, Platinum, serta banyak lagi.
Cawangan Signature di La Promenade ini memiliki standard tinggi yang sama dengan ‘Signature’ di cawangan Pavilion Bukit Jalil dan Pavilion Damansara.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Hock Seng Lee (HSL), Tony Yu, berkata pembukaan K11 di La Promenade merupakan satu peristiwa penting.
“Sebagai pemilik pusat beli belah sewaan sahaja, HSL sentiasa mempunyai pilihan untuk memilih penyewa terbaik.
“Ia adalah tempat hiburan baharu yang cantik, mesra keluarga, selamat, menyeronokkan dan menarik untuk seluruh Kuching dan Samarahan,” tambahnya.
Pada pembukaan rasmi itu, Pengarah Eksekutif K11, Fam Wee Chiang, berkongsi bahawa pembinaan cawangan itu memakan masa hampir setahun dan ia mempunyai semua kemudahan terkini.
“Kami mempunyai antara pilihan lagu terbesar di rantau ini. Kami mempunyai lagu ‘hits’ terkini, dan ciri dalam talian baharu, tetapi pelanggan mesti datang untuk mengetahui apa ciri itu,” kata Fam.
“Saya juga bangga, iaitu sama ada anda berkumpulan atau bersendirian, cawangan K11 ini mempunyai sesuatu untuk semua orang.
“Kami mempunyai pilihan makanan dan minuman yang luas. Kami telah memastikan harga semuanya berpatutan,” ujarnya.
K11 Karaoke Signature La Promenade dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 2 pagi.
Tempat letak kereta di pusat membeli-belah adalah percuma, termasuk tempat letak kereta di bawah tanahnya.
Tambahan pula, La Promenade menawarkan semua pelanggan K11 diskaun 10 peratus daripada koktel, dengan hanya menunjukkan resit K11 mereka.
Untuk maklumat lanjut, Layari lapromenademall.com.my atau cari @lapromenademall di media sosial.






