ASAJAYA: Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak tidak seharusnya dianggap sebagai jaminan bahawa negeri ini akan terus bebas daripada ancaman ekstremisme.
ADUN Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, meskipun kecenderungan fahaman ekstrem tidak begitu ketara dalam kalangan masyarakat Sarawak, langkah berterusan perlu diambil bagi memastikan pengaruh tersebut tidak menular sehingga mengganggu-gugat perpaduan negeri.
Menurutnya, sikap taasub bangsa atau pegangan agama sendiri sehingga memandang rendah kelompok yang lain boleh menjadi titik permulaan kepada perpecahan masyarakat.
“Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya sepanjang berkhidmat di Sarawak, kita tidak berdepan dengan masalah ekstremisme yang begitu ketara.
“Bagaimanapun, keadaan ini tidak bermakna kita boleh memandang ringan ancaman ekstremisme. Kita tidak boleh menganggap bahawa fahaman sedemikian tidak akan menular ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Menyemai Bakti Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Kali Ke-25 di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, berdasarkan pengalamannya, masyarakat Sarawak secara umumnya mempunyai tahap toleransi yang baik hasil didikan sejak di bangku sekolah, selain pendekatan yang diamalkan oleh kepimpinan negeri dan badan agama.
Katanya, peranan badan agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut membantu membentuk masyarakat yang mengutamakan kesederhanaan serta saling menghormati.
Namun, beliau mengingatkan bahawa pengaruh ekstremisme boleh menjadi masalah serius sekiranya dibiarkan berkembang tanpa kawalan.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut mengingatkan bakal graduan IKMAS supaya memahami kepelbagaian agama, bangsa dan etnik di Sarawak sebelum menjalankan tanggungjawab sebagai pendakwah.
Menurutnya, masyarakat majmuk menuntut setiap individu menghormati perbezaan tanpa menganggap bangsa sendiri lebih tinggi kedudukannya berbanding bangsa lain.




