Atlet pecut negara, Danish Iftikhar, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki Sukan SEA 2025 selepas mencatatkan masa 10.26 saat.
Danish hanya ketinggalan 0.01 saat di belakang pelari Indonesia, Lalu Zohri, yang memenangi pingat perak dengan catatan masa 10.25 saat.
Sementara itu, jaguh pecut Thailand, Puripol Boonson, cemerlang meraih pingat emas dengan catatan 10.00 saat di peringkat akhir, sekali gus menobatkannya sebagai raja pecut Asia Tenggara.
Pada peringkat saringan, Puripol turut mencipta sejarah dengan memecahkan rekod Sukan SEA yang dipegang oleh pelari Indonesia, 10.17 saat (dicatatkan pada tahun 2009) selepas mencatatkan masa 9.94 saat.
Danish Iftikhar turut memperbaharui catatan masa terbaik peribadinya apabila mencatatkan 10.18 saat pada peringkat saringan.
Beliau berada di hadapan seketika sebelum terpaksa akur di tempat ketiga akibat pecutan akhir yang dilakukan oleh Puripol dan Zohri.
“Ini adalah satu peluang terbaik untuk berlumba bersama pelari bertaraf dunia seperti Puripol, yang mencatat 9.94 saat pada saringan.
“Sepanjang larian, semua pelari bersaing habis-habisan. Ini adalah peluang terbaik untuk saya tingkatkan pengalaman dan prestasi,” kata Danish.
Dalam pada itu, seorang lagi wakil negara, Jonathan Nyepa dari Sarawak, menamatkan larian di tempat keenam dengan catatan 10.52 saat.
Jonathan mengakui saingan kali ini sangat sengit, namun beliau berpuas hati dapat bersaing di peringkat akhir.
Penyertaan dua wakil negara ke peringkat akhir dianggap sebagai perkembangan positif dalam usaha membangunkan atlet larian pecut kebangsaan.



