Lari lintang pukang masuk Indonesia apabila dikejar PGA

BAU: Selaras senapang angin, sebilah pisau Bayonet dan seunit teropong jenis Bushnell turut ditinggalkan seorang lelaki apabila dikejar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika cuba menyeludup keluar sebuah motosikal yang baharu dicuri melalui sempadan di sini.

Pegawai Pemerintah PGA, Superintendan Rosdi Inai berkata kegiatan lelaki itu dikesan semasa pasukan PGA menjalankan Ops Batas Risik di kawasan Kampung Padang Pan, berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia sekitar jam 5.15 petang Selasa lalu.

“Pasukan kami yang terdiri daripada seorang pegawai dan sembilan anggota risikan ternampak suspek menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan dan cuba menahannya tetapi dia terus memecut motosikal menghala ke sempadan dan terbabas di bahu jalan.

“Suspek kemudian berlari masuk Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata pemeriksaan mendapati motosikal jenis Yamaha LC135 itu dilaporkan hilang di sini pada hari sama.

Katanya nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM8,300 dan diserahkan kepada Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut.

Beliau turut meminta masyarakat setempat khususnya yang tinggal berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membanteras jenayah rentas sempadan.

Suara Sarawak