BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah kapal nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara sekitar jam 10.00 pagi kelmarin.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, kapal berkenaan ditahan pada kedudukan lebih kurang 132 batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, Bintulu.
“Ketika dikesan, kapal mencurigakan tersebut sedang leka menjalankan aktiviti menangkap ikan dan ketika dirapati kru kapal tersebut enggan memberikan kerjasama.
“Selain bertindak agresif dengan meletakkan pelbagai halangan di atas lantai vesel bagi menghalang kapal ditahan untuk diperiksa.
“Tekong juga bertindak mengemudi vesel secara agresif dengan cubaan lolos ke perairan antarabangsa, namun terus dikejar oleh Kapal Maritim (KM) Tabah yang mengambil masa hampir dua jam untuk menahannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
“Sementara seramai 18 kru termasuk tekong berusia lingkungan 20 tahun hingga 46 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.
“Kesemua mereka ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Effendy berkata, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 2,000 liter serta hasil tangkapan sekitar 15 tan metrik ikan campur turut dirampas dengan jumlah keseluruhan rampasan termasuk kapal dianggarkan bernilai RM1 juta.
“Kesemua kru akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak COVID-19 sebaik tiba di jeti,” katanya.
Effendy berkata, disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanandi perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
Tegasnya, jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM6 juta, manakala kru boleh didenda sehingga RM600 ribu setiap seorang dan vesel boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang
beroperasi 24 jam.