Bukuku kubuku

SAYA masih ingat bagaimana ketika berada di kampung halaman pada akhir tahun 70-an dan dekad 80-an dahulu, jarang saya melihat ada rumah penduduk di kampung atau saudara mara mempunyai buku, apatah lagi rak buku.

Kalaupun ada rak atau almari, ia mengandungi pinggan mangkuk, lebih sebagai hiasan. Kalaupun pinggan mangkuk itu digunakan, ia mungkin digunakan ketika tetamu penting datang ke rumah.

Keadaannya tidak jauh berubah ketika ini. Apakah agaknya masalahnya?

Masih adakah yang berminat untuk membaca buku ketika dunia sudah begitu taasub dengan media sosial?

Membaca buku bagi sebahagian orang adalah sesuatu yang menyeksakan, apatah lagi hendak membeli buku. Sebagai pensyarah saya pernah bertanya kepada pelajar universiti, jumlah buku yang dibeli dan dibaca oleh mereka dalam setahun.

Perkara ini saya lakukan ketika pelajar masuk ke bilik saya.

Berapa jumlah buku yang sudah dibeli sehingga kini? Berapa banyak buku ada dalam simpanan atau di rumah? Berapa banyak buku dibaca dalam sebulan, setahun atau sepanjang mengikuti kursus, selain daripada buku teks?

Berapa banyak wang yang digunakan untuk membeli buku?

Berapa banyak masa digunakan untuk membaca dan menelaah buku.

Jawapan mereka memang mengejutkan dan mengecewakan.

Amat memalukan untuk saya menyatakan jumlahnya dalam tulisan ini.

Pada amnya, pelajar memang tidak membeli dan membaca buku, selain buku teks.

Inilah generasi yang sebenarnya tidak lagi berminat membaca buku, tetapi obses dengan telefon bimbit, media sosial, termasuk Facebook dan WhatsApp.

Ada yang sanggup menghabiskan sehingga lima jam di Facebook tetapi keberatan mengorbankan masa untuk membaca buku fiksyen, bukan fiksyen, biografi dan lain-lain.

Bagi saya, membaca buku dan membaca bahan daripada Internet, jauh bezanya. Bagai langit dengan bumi. Kalau mahukan keseronokan sebenar, bacalah buku yang diminati, tidak kira apa-apa pun genre dan disiplinnya.

Boleh jadi puisi, cerpen, novel, drama ataupun buku sejarah, sains dan agama.

Yang penting sesuatu buku itu memberi keseronokan, menghiburkan serta memberi manfaat kepada pemikiran, mental, emosi atau spiritual. Buku memberi kearifan, pengalaman, pengetahuan dan kemahiran baharu kepada pembacanya.

Kegilaan terhadap buku bermula pada tahun pertama saya di universiti. Saya mulai membeli dan menghimpun buku dari minggu pertama berada di Universiti Sains Malaysia.

Saya beruntung kerana saya dididik oleh pensyarah dan profesor hebat.

Di USM terdapat sebuah kedai buku yang pasti saya kunjungi setiap minggu.

Anehnya, meskipun jumlah biasiswa saya sedikit, saya bagai ketagih membeli buku. Namun, buku waktu itu ada yang semurah RM3.

Pada setiap akhir semester, ada dalam kalangan rakan sekursus membuang buku yang mereka beli dan baca sebaik sahaja berakhirnya peperiksaan.

Sayalah pengutip dan pengumpul buku berkenaan. Kegilaan saya terhadap buku semakin menjadi-jadi selepas bekerja sebagai guru, nazir sekolah, pengetua dan timbalan penolong pengarah pendidikan Sarawak.

Minat berkenaan semakin tumbuh dan berkembang selepas saya meletakkan jawatan dari Jabatan Pendidikan Sarawak untuk menjadi editor sebuah akhbar.

Disebabkan pergolakan politik pada 1998, saya telah terpelanting dari jawatan sebagai ketua editor.

Saya kemudiannya melanjutkan pelajaran, dan selepas mendapat ijazah sarjana, saya menjadi pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak.

Di situlah kegilaan saya terhadap buku semakin tidak terkawal. Kini, tanpa sedar, saya telah mengumpul dan membeli sekitar 11,000 judul buku di dalam perpustakaan peribadi di rumah.

Buku yang ada dalam simpanan saya itu menggambarkan perjalanan hidup dan kerjaya saya.

Sesungguhynya, bukuku ialah kubuku, kubuku ialah bukuku.

Itulah sebabnya, ada buku sastera, bahasa, sejarah, penulisan, komunikasi, media, politik, komunikasi politik, sosiologi, hubungan etnik, biografi, dan beberapa lagi dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia di dalam perpustakaan berkenaan.

Tempat pertama yang pasti saya kunjungi, selain muzium di mana-mana bandar raya atau kota dunia yang sempat saya kunjungi ialah kedai buku.

Masa yang paling menyeronokkan untuk pencandu buku dan kaki buku ialah berada di pesta buku dan acara jual buku murah, tidak kira di Jakarta, Bandung, Bangkok, Hong Kong, Tokyo, London, Istanbul atau Makkah.
Ada penulis menyatakan, anda ialah apa-apa yang anda makan.

Bagi saya, anda ialah apa-apa yang anda baca. Buku yang anda baca akan membentuk bukan sahaja pemikiran anda, tetapi juga perwatakan anda.

Buku memberi anda butir-butir mutiara kearifan yang membijaksanakan. Sebagai pensyarah, wajib bagi saya untuk menelaah segala buku dalam bidang yang saya ajar supaya saya tidak ketinggalan, dan agar ilmu yang disampaikan kepada pelajar adalah kemas kini.

Ray Bradbury pernah menyebut: “Tidak perlu menghancurkan buku untuk meruntuhkan peradaban, sebaliknya hanya perlu untuk memastikan orang berhenti membaca, runtuhlah segala-galanya.”

Hamka berpesan, membaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik. Jadi, pilihlah buku terbaik, berkualiti dan paling relevan dengan keperluan kita.

Ingat, menurut Gabriel Zaid, setiap 30 saat, 30 judul buku diterbitkan di dunia dalam buku So Many Books.

Sekitar sejuta judul baharu diterbitkan setiap tahun. Sejak mesin cetak dicipta pada abad ke-15, sudah 50 juta judul buku diterbitkan.

Bayangkan, anda memerlukan 250,000 tahun untuk membaca buku yang pernah diterbitkan setakat ini.

Dan, untuk membaca tajuk kesemua buku berkenaan sahaja, anda memerlukan 15 tahun menghabiskannya.

Industri buku di China dan Amerika Syarikat ialah RM105 bilion manakala bagi UK dan Jepun masing-masingnya RM30 bilion.

Bagi negara ini, malangnya, nilainya hanya RM1.5 bilion.
Kedalaman dan keluasan ilmu bukan pada Internet atau Facebook, tetapi pada buku.

Buku dapat mengasah ketajaman pemikiran dan daya analisis dan taakulan, selain memberi anda kreativiti bahasa dan daya imaginasi.

Tidak usah berbohong, mereka yang membaca banyak buku tidak akan sama dengan orang yang tidak membaca buku dari segi ilmu, pemikiran, keupayaan berbahasa atau jangkauan imaginasinya.

Kita perlu memupuk minat dan kemahiran membaca dari kecil. Melentur buluh biar dari rebung. Anak-anak perlu digalakkan membaca puisi, novel, cerpen atau drama dari sekolah rendah.

Malangnya, sebanyak 22 peratus atau 5.5 juta daripada sekitar 33 juta rakyat kita pada kumpulan usia 15 tahun ke atas menyatakan langsung tidak berminat membeli dan membaca buku setahun.

Angka ini ialah purata responden yang dikaji Pasukan Analisis Picodi.com dan menyatakan jawapan: “tidak membeli walaupun sebuah buku sepanjang 2018.”

Kajian Picodi.com juga menemukan data 76 peratus atau 18 juta rakyat Malaysia membeli sebuah buku setahun.

Bayangkan! Buku yang dibeli itu belum pasti habis dibaca.

Hakikatnya, buku tidak harus dijauhi apalagi dimusuhi.

Sebaliknya, buku perlu didekati dan didakapi. Ingat, anda ialah apa-apa yang anda baca.

Ceriakan dan maknakanlah hidup anda dengan membaca buku.