BELADIN: Kerajaan Sarawak tahun ini merealisasikan pembinaan dua masjid dan sebuah surau yang disifatkan sebagai ‘hadiah’ Ramadan yang cukup bermakna buat rakyat di kawasan Beting Maro.

ADUNnya Razaili Gapor memberitahu, ia melibatkan naik taraf Masjid al-Amin, bina baharu Masjid Kampung Semarang dan Surau Kampung Tengah Beladin.

Katanya, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Naik taraf Masjid al-Amin dijangka menelan kos RM2 juta, manakala bina baharu Masjid Kampung Semarang yang berhadapan ancaman hakisan bakal dibina dengan kos RM2.5 juta.

“Sebuah lagi surau yang akan dibina ialah Surau Kampung Tengah Beladin di tapak lama Masjid Sinar Islam dengan kos RM500,000. Semua peruntukan disediakan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Jelajah Ramadan dan Penyampaian Sumbangan Ramadan Majlis Islam Sarawak (MIS) Kepada Masjid/Surau Bahagian Betong (DUN Beting dan Lingga) yang berlangsung di Masjid al-Amin Beladin, hari ini.

Jelasnya, pihak kontraktor yang bakal melaksanakan projek tersebut kelak diharap dapat menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau dalam pada itu menyatakan Ramadan yang disifatkan sebagai madrasah merupakan raja segala bulan yang membuka peluang untuk umatnya meningkatkan ibadah serta mengukuhkan pegangan agama masing-masing.

“Inilah platform pembentukan peribadi dan sahsiah umat Islam yang terbaik melalui program dan aktiviti keagamaan yang dianjurkan.

“Ramadan sebagai peluang dan titik mula mengubah masyarakat khususnya anak muda ke arah yang lebih cemerlang.

“Sekiranya kita dapat melaksanakan dengan lebih banyak program dan aktiviti keagamaan serta pengimarahan masjid/surau, maka inilah cara paling baik untuk kita bersama mentransformasikan masyarakat di sini,” ujarnya.

Justeru, Razaili menyeru supaya program dan aktiviti keagamaan serta pengimarahan masjid/surau sepanjang Ramadan dapat diteruskan.

“Ambil yang jernih, buang yang keruh. Berakhirnya Ramadan kelak pastikan kita terus istiqamah dalam beribadah termasuk melakukan usaha-usaha yang bermanfaat,” ujarnya.

“Kiranya sangat rugi apabila Ramadan berlalu begitu sahaja dan kita tidak merebut sebaik-baik kemuliaannya,” tambahnya.

Razaili menyampaikan sumbangan MIS masing-masing RM1,000 kepada 25 masjid dan surau di kawasan sekitar.

Selain itu, sumbangan kepada 110 warga emas dan asnaf di Kampung Beladin.

Hadir sama Pegawai Agama Islam Bahagian Betong Ustaz Wan Adzman Wan Abdul Rahman, Penghulu Kampung Beladin Mahbang Labek dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid al-Amin Zakaria Mos.