Banjir di Mukah jejaskan kehidupan penduduk

MUKAH : “Apa boleh buat saya reda, dua mesin membuat kuih dan pizza kami rosak sebab tak sempat nak angkat.”
Itu antara luahan peniaga dari Kampung Tutus Hilir Mukah, Fadzilah Zaffarin, 35 yang merupakan antara penduduk yang terkesan dengan banjir yang berlaku sejak semalam di Mukah.
Menurutnya, air mula naik sekitar jam 2 petang, namun tidak disedari oleh mereka kerana masing-masing sibuk.
“Adik dan ibu saya di kilang tengah membuat Tebaloi, ayah menghantar tepung sagu ke Oya, suami sibuk dengan urusan kerja, masing-masing jelas tidak sedar,” katanya yang ditemu-bual, hari ini.
Menceritakan lanjut, Fadzilah berkata dia hanya sempat menyelamatkan mesin yang ringan ke tempat tinggi manakala dua mesin berat rosak akibat ditengelami air.

Fadzilah Zaffarin, 35

“Mesin inilah yang banyak membantu kami untuk menghasilkan Biskut Kipas, Tebaloi dan Pizza Homemade, apa pun saya redalah dengan apa yang berlaku,” katanya lagi.
Walaupun turut terjejas, beliau turut menyertai penduduk lain meninjau beberapa rumah terjejas bagi membantu mereka, terutama warga emas.
Menurut Fadzilah, banjir kali ini agak teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Bagi saya, tahun ini keadaan banjir agak teruk. Kali terakhir adalah pada 2005 sehingga kami boleh bersampan di jalan raya kampung ini,” katanya.
Seorang warga emas, Jaraiyah Zaini, 67, yang tinggal bersama anak perempuannya dan cucunya turut terjejas apabila rumahnya dua kali dinaiki air, semalam.
Jaraiyah Zaini 67

“Air masuk dari bahagian dapur pada petang semalam, dan selepas air surut, selesai sahaja kami menyapu keluar air, air kembali naik sekitar jam 11 malam,” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga terpaksa berjaga sepanjang malam kerana takut air naik lagi.
Sementara, Ketua Kampung Tutus Hilir Zaffarin Bohari, 63, ketika ditemui memberitahu semalam sahaja lebih 19 buah rumah penduduk dimasuki air, dan menjangkakan jumlahnya bertambah hari ini.
“Kami saling membantu mengurus dan mengangkat barang-barang penduduk yang terjejas terutama barang elektrik yang berat seperti peti sejuk,” katanya.
Ketua Kampung Tutus Hilir Zaffarin Bohari 63 melihat keadaan banjir di kampungnya

Katanya penduduk terjejas juga akan dipindahkan ke surau terdekat.
Sehingga petang tadi, keadaan air semakin menaik di Kampung Tutus Hilir dengan air memasuki kawasan jalan raya.
Dalam pada itu, beberapa kampung sekitar iaitu Kampung Tellian Laut, Kampung Tellian Tengah, Kampung Sungai Ragei dan kampung lain turut mengalami kenaikan air, malah sekitar bahu jalan ramai penduduk kampung mula meletakkan kereta masing-masing di tempat tinggi.









Mesin milik Fadzilah dan keluarganya yang rosak akibat air banjir.



Suara Sarawak