
BINTULU: Proses penamaan calon bagi Parlimen Bintulu di Dewan Suarah di sini berjalan lancar dan terkawal dengan penyokong parti yang bertanding mematuhi peraturan dan tatatertib yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Batholomew Umpit berkata, seramai 108 anggota terdiri daripada 21 pegawai dan 87 anggota pelbagai peringkat jawatan dikerahkan bagi membantu memastikan keadaan terkawal.
Katanya lagi, jumlah tersebut merangkumi 40 anggota tambahan melibatkan dua pegawai berpangkat ASP dan empat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak serta Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita menggerakkan unit dron PDRM untuk memantau pusat penamaan calon pagi ini bagi memastikan keadaannya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihati penyokong mana-mana parti yang bertanding memberi kerjasama dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.
“Selepas ini (penamaan calon), kita akan berjumpa ejen dan wakil parti untuk menerangkan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh berkempen.
“Kita akan mengeluarkan permit berkempen selepas selesai perjumpaan dengan pegawai pengurus (pilihan raya), bersama-sama wakil ejen dan parti dan menerangkan tentang perkara berkaitan.
“Selepas selesai perjumpaan, permohonan akan dibuka kepada mana-mana parti yang memohon permit untuk berkempen dan berceramah hari ini,” katanya lagi.
Tambah Bartholomew, setakat ini pihaknya menerima permohonan permit (kempen ceramah) daripada Perikatan Nasional (PN) dan selepas ini semua permit akan dikeluarkan kepada semua parti atau calon yang ingin mengadakan ceramah.