Kami tidak pernah makan piza, Cikgu

Pizza Hut tawar piza selepas status twitter Cikgu Nuralia tular

DARO: “Kami tidak pernah makan piza, cikgu,” kata murid tahun dua SK Kampung Kut, mengusik jiwa Nuralia Nadera Mohamad, 24 tahun.

Keinginan itu bukan mustahil bagi anak-anak di kampung tempatnya mengajar kerana jarak kampung berkenaan ke bandar agak jauh.

Malah untuk ke Pekan Daro pun mengambil masa 45 minit dengan laluan darat yang sukar.

Justeru piza bagi murid Cikgu Nuralia, hanya impian yang terbayang dalam iklan televisyen tanpa dapat ditafsir rasanya.

Sedar akan keinginan murid-muridnya itu, gadis dari Kampung Daro itu telah meminta emaknya untuk membuat piza mini, untuk dihidangkan kepada murid-murid ciliknya pada hari jadinya ke-24.

Foto dan kisah ‘tidak pernah makan piza’ itu kemudian dimuat naik si manis Cikgu Nuralia itu dalam status twitternya dengan tajuk, “Kami tidak pernah makan pizza.”

Tweet tersebut kemudian menjadi tular hingga mendapat perhatian restoran makanan segera Pizza Hut Malaysia pada 15 Mac lalu.

Nuralia memberitahu, niatnya bukan untuk mencari glamor atau populariti.

“ Ia sekadar memuat naik keinginan anak-anak murid saya sebagai perkongsian menarik,” katanya kepada Suara Sarawak.

Pizza Hut dalam komen balasnya kemudian menulis: “… Kami amat tersentuh dengan status anda, piza adalah makanan penuh kasih sayang, sila beritahu lokasi anda dan kami akan memenuhi impian anak murid anda.”

Status tersebut turut mencuri perhatian netizen di seluruh negara yang rata-rata ingin tahu di mana lokasi SK Kampung Kut, yang dikategorikan sebagai ‘sekolah kurang murid’, kerana memiliki hanya 32 murid tahun satu hingga tahun enam, selain lapan guru.

Nuralia, anak sulung daripada empat beradik ini memang seorang aktif sejak kecil.

Sekolah ini adalah penempatan pertamanya selepas tamat latihan di IPG Kampus Sultan Mizan Terengganu.

Mengimbas hari istimewa tersebut, dia sedang mengajar subjek Sains berkaitan dengan makanan, seminggu sebelum hari jadinya.

“ Saya bertanya, siapa pernah makan piza dan tiba-tiba seorang murid tahun dua mengangkat tangan dan berkata: kami tak pernah makan piza, cikgu.

Pizza Hut kata Nuralia lagi, ada menghubunginya,memaklumkan mereka akan datang dalam masa terdekat.