Dapat kerja melalui program pensijilan profesional

KUCHING: Seramai 20 pelajar Politeknik Kuching Sarawak (PKS) kini berjaya mendapat pekerjaan selepas menyertai Program Pensijilan Pemetaan Utiliti Profesional (Kompetensi) yang diadakan bersama pemain pelbagai industri baru-baru ini.

Difahamkan program tersebut salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP).

Politeknik Kuching menerusi satu kenyataan menjelaskan, program tersebut diadakan pada 1 hingga 4 November lalu dan berjaya menghimpunkan 20 pelajar lepasan Diploma Geomatik yang tamat sesi pengajian pada Disember 2018 dan Jun 2019.

“Hasil program ini, peserta dinilai dari segi tahap kompetensi penggunaan alat dan proses pengumpulan data di bawah tanah bagi tujuan pemetaan utiliti.

“Malah pemain industri seperti Lembaga Juruukur Tanah Sarawak, Institusi Ukur Diraja Malaysia dan Persatuan Perunding Juruukur Tanah Berlesen Sarawak turut sama membantu dalam pembangunan dan pengesahan rubrik penilaian ini,” jelas kenyataan tersebut.

Turut hadir dalam majlis perasmian penutupan program Pengarah Politeknik Kuching Sarawak Jamaliah Ahmad disaksikan wakil pihak industri secara dalam talian.

Beliau berharap program tersebut dapat merapatkan hubungan antara PKS dengan pemain industri sekali gus memberi nilai tambah kemahiran kepada penolong jurukur tanah yang diperlukan industri terutama di Sarawak.

Pada majlis tersebut, lapan syarikat sudi untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada peserta iaitu Borders Survey Consultant Sdn Bhd, Resources Survey Services, W.L.S Survey Services, Ukurancang Perunding Sdn Bhd, Juru Survei Mas Gading, Jurukur Metra, Perunding Survei TS dan Juru Survei Konsult.

Suara Sarawak