KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan hampir 10.07 juta langganan perkhidmatan rangkaian 5G atau menyamai kadar penggunaan sebanyak 29.9 peratus setakat 31 Januari 2024, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Sambil menyifatkan pencapaian itu sebagai amat signifikan, beliau berkata, kadar penggunaan berkenaan melonjak daripada 12.5 peratus setakat November 2023.
“Ini menunjukkan peningkatan yang signifikan (bagi Malaysia). Setakat Januari lepas, kita telah mencapai satu tahap penggunaan 5G yang amat ketara, berdasarkan maklumat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya ketika berucap pada acara Pameran Percubaan Maxis 5G-Advanced di sini, hari ini.
Sesi percubaan itu akan turut menjadi sebahagian daripada Pavilion Malaysia di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2024 di Barcelona, Sepanyol, pada 26-28 Februari ini.
Selain itu, Fahmi juga mengingatkan supaya semua pengendali rangkaian mudah alih lebih peka terhadap keperluan pengguna pada masa akan datang.



