ARTIKEL

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kiri) menerima kunjungan hormat daripada Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (kanan). |Foto Ramidi Subari

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, surat setuju terima bagi pelaksanaan enam kluster projek berkenaan diserahkan kepada syarikat yang terlibat hari ini.

Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas menyaksikan pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk inisiatif bandar pintar antara Kementerian Komunikasi melalui SKMM dengan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Utiliti dan Komunikasi, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. |Foto Ramidi Subari.

Katanya, pelaksanaan projek itu dijangka bermula dalam tempoh beberapa bulan selepas syarikat terbabit menandatangani surat setuju terima berkenaan.

“Bagi JENDELA 2 fasa pertama untuk Sarawak, kita menyerahkan surat setuju terima kepada pihak yang akan menguruskan enam kluster yang akan dilaksanakan di seluruh negeri, dengan nilai keseluruhan RM545 juta.

“Kita merancang hampir 350 lokasi di seluruh Sarawak mendapat perkhidmatan Internet yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bagi inisiatif bandar pintar antara Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Majlis itu turut disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu, Fahmi bersama-sama rombongan kementeriannya, termasuk Pengerusi SKMM Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, mengadakan kunjungan hormat kepada Abang Johari di DUN Sarawak.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, inisiatif bandar pintar turut melibatkan penyediaan kabel gentian optik bagi menyokong pelaksanaan pelbagai kemudahan, termasuk kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata, usaha berkenaan akan membantu memperkukuh kesalinghubungan dan menyokong pembangunan ekonomi digital di Sarawak.

Menyentuh program kabel dasar laut MADANI (SALAM), Fahmi berkata, sekurang-kurangnya tiga lokasi pendaratan kabel akan dibangunkan di Sarawak, dengan Bintulu dikenal pasti sebagai antara lokasi utama bagi menyokong pembangunan Pelabuhan Bintulu dan kawasan sekitarnya.

Katanya, program SALAM akan melibatkan 10 lokasi pendaratan kabel dasar laut di seluruh negara, merangkumi tiga lokasi di Sarawak, lima di Sabah dan selebihnya di Semenanjung Malaysia.

“Program SALAM ini akan membantu menyediakan perkhidmatan tambahan kepada kabel dasar laut SKRIM yang sedang berfungsi ketika ini.

“Bagi Sarawak, dua lagi lokasi pendaratan masih dalam penelitian. Antara lokasi yang dicadangkan ialah Matu dan Buntal, namun kita akan meneliti beberapa lokasi lain,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program SALAM dijangka bermula menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan, dengan tempoh penyelesaian dianggarkan antara dua hingga tiga tahun.

Menurutnya, kerjasama rapat dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak akan diteruskan bagi mempercepat pembangunan telekomunikasi dan ekonomi digital negeri ini.

Sementara itu, mengulas isu jerebu susulan kebakaran di Kalimantan serta ketegangan dalam kalangan pengguna media sosial Malaysia dan Indonesia, Fahmi berkata, SKMM setakat ini belum menerima aduan berhubung kandungan yang ditafsirkan sebagai jelik melampau berkaitan isu berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya memahami kemarahan orang ramai berikutan masalah jerebu yang berlarutan.

Katanya, kerajaan Persekutuan telah mengemukakan surat bagi memohon penyediaan aset untuk membantu memadamkan kebakaran, namun masih belum menerima maklum balas setakat ini.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (empat dari kiri) dan yang lain merakamkan foto kenangan bersama-sama Datuk Seri Fahmi Fadzil (empat dari kanan) serta rombongan (di tempat duduk sebelah kanan). Foto Ramidi Subari

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Projek SADV manggai 89 peratus tembu

KUCHING: Projek Kampung Digital Sungai Asap (SADV) ti ngaul pengawa ngelekat tali gentian optik sepemanjai 140 kilometer di Sungai Asap enggau Apau Koyan diatu udah