KUCHING: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan projek Bandar Pintar Kuching dan Kesalinghubungan Digital untuk memperluas kesalinghubungan digital serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan bandar di kawasan Greater Kuching.
Kerjasama tersebut turut membabitkan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT).
Majlis pertukaran dokumen MoU itu disempurnakan oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Tetap MPHLG, Datuk Elizabeth Loh dengan disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini
Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk memanfaatkan teknologi digital, data dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkat pengurusan bandar, memperkukuh keselamatan awam serta membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat dan sektor perniagaan.

Inisiatif ini turut selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan Sarawak Digital Economy Blueprint 2030.
Pelaksanaan awal projek akan memberi tumpuan kepada kawasan Greater Kuching yang merangkumi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Antara skop kerjasama yang dikenal pasti ialah pembangunan perkhidmatan bandar pintar berasaskan AI dan data, platform bandar bersepadu serta pengukuhan infrastruktur rangkaian teras bagi menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan responsif.
Projek itu turut merangkumi penggunaan teknologi untuk pemantauan keselamatan bandar, sokongan tindak balas kecemasan, penyediaan kemudahan Wi-Fi awam, pelaksanaan teknologi kembar digital (digital twin) serta pembangunan Pusat Operasi Rangkaian (Network Operations Centre atau NOC).
Aspek keterangkuman, keselamatan siber, perlindungan data dan tadbir urus yang bertanggungjawab juga akan diberi perhatian dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Melalui penggunaan teknologi digital secara bersepadu, projek itu dijangka membantu meningkatkan kecekapan pengurusan trafik dan kemudahan awam, selain mempercepat tindak balas insiden serta kecemasan.
Inisiatif berkenaan juga bertujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan digital dan menyediakan pengalaman yang lebih baik kepada penduduk, sekali gus menyokong usaha membangunkan persekitaran bandar yang lebih pintar dan berdaya tahan.
MCMC dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai pihak berkepentingan bagi mempercepat pelaksanaan inisiatif digital yang berorientasikan rakyat.
Kerjasama itu diharap dapat menyokong pembangunan bandar yang lebih cekap dan responsif terhadap keperluan masyarakat, seiring dengan perkembangan ekonomi digital negara.


