ARTIKEL

Abdul Yakub Arbi.

ADUN Balingian Ingatkan Wakil Rakyat Patuhi Peraturan DUN Sarawak


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak diingatkan supaya mematuhi peraturan Dewan dan menghormati kewibawaan speaker bagi memastikan setiap salah laku ditangani secara adil tanpa mengira kedudukan atau fahaman politik.

ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, disiplin, keadilan, rasa hormat dan integriti perlu menjadi asas dalam memelihara martabat serta kredibiliti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menurutnya, DUN Sarawak merupakan institusi penting yang diamanahkan rakyat untuk membincangkan kepentingan awam, menggubal dasar serta mempertahankan kesejahteraan negeri.

“Disebabkan itu, setiap wakil rakyat bertanggungjawab menjaga kewibawaan institusi itu dengan mengamalkan perbahasan yang matang dan berhemah.

“Perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada proses demokrasi. Namun, perbezaan itu mesti disampaikan secara bertanggungjawab dan beradab, tanpa serangan peribadi, penghinaan, ugutan atau tindakan yang boleh mengganggu perjalanan persidangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab, manakala setiap wakil rakyat wajib menghormati peraturan mesyuarat serta keputusan speaker ketika mengendalikan persidangan.

Tegasnya, kebebasan bersuara mesti berjalan seiring dengan tanggungjawab dan tiada sesiapa boleh menganggap dirinya mengatasi peraturan dewan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sebarang salah laku perlu ditangani secara adil dan konsisten berlandaskan peraturan mesyuarat, tanpa layanan terpilih atau dipengaruhi kecenderungan politik.

“Tiada seorang pun Ahli Yang Berhormat harus berada di atas peraturan dan pada masa yang sama, tiada seorang pun harus dilayan secara tidak adil.

“Prinsip akauntabiliti, keadilan dan kesamarataan mesti terpakai kepada semua,” katanya lagi.

Yakub turut menyeru wakil rakyat kerajaan dan pembangkang supaya menunjukkan kematangan, disiplin diri serta saling menghormati dalam melaksanakan amanah yang diberikan rakyat.

Ujarnya, tingkah laku wakil rakyat ketika persidangan bukan sahaja dinilai oleh masyarakat, malah menjadi contoh kepada generasi muda dalam membentuk budaya demokrasi dan kepimpinan di Sarawak.

TAMAT

BERITA LAIN

BERITA TERBARU