BINTULU: Gerakan koperasi perlu lebih peka dengan perubahan demografi dan corak kehidupan masyarakat bagi mengenal pasti peluang perniagaan baharu yang berpotensi menjana pendapatan serta meningkatkan kesejahteraan anggota.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Mohd Zaib Mat Yunus berkata, perubahan keperluan masyarakat, termasuk peningkatan permintaan perkhidmatan penjagaan warga emas, penjagaan di rumah, penghantaran makanan dan pengangkutan, membuka peluang kepada koperasi untuk mengembangkan aktiviti perniagaan.

Beliau berkata koperasi tidak seharusnya hanya bergantung pada perniagaan sedia ada, sebaliknya perlu mengenal pasti keperluan yang belum dipenuhi dalam kalangan anggota dan komuniti setempat.
“Apabila masyarakat berubah, keperluan turut berubah. Bagi koperasi yang peka dengan perubahan ini, setiap perubahan boleh menjadi petunjuk kepada peluang dan pasaran baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Bicara Ilmu “Peluang Dekat, Pasaran Nyata” anjuran IKMa di sebuah hotel di sini, Khamis.
Mohd Zaib berkata peluang perniagaan koperasi tidak semestinya memerlukan pelaburan besar atau penerokaan pasaran di luar kawasan operasi kerana keperluan komuniti setempat juga boleh menjadi asas kepada pembangunan perniagaan yang berdaya maju.
Menurutnya, sektor makanan, pelancongan, peruncitan, perkhidmatan digital, logistik, pendidikan dan latihan turut berpotensi diterokai berdasarkan permintaan pasaran serta kemampuan koperasi.
Beliau berkata perubahan demografi negara juga perlu dijadikan panduan oleh gerakan koperasi untuk menilai keperluan masyarakat, khususnya dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan dan sokongan komuniti.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa koperasi perlu menilai permintaan pasaran, mengenal pasti kumpulan pelanggan sasaran serta mengukur kemampuan organisasi sebelum membuat keputusan untuk menceburi sesuatu bidang perniagaan.
Dalam pada itu, Mohd Zaib berkata gerakan koperasi mempunyai asas yang kukuh untuk meneroka peluang baharu berdasarkan kekuatan keanggotaan, aset dan jaringan perniagaan sedia ada.
Menurutnya, statistik Gerakan Koperasi 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia merekodkan sebanyak 16,468 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan melebihi 7.33 juta orang, aset berjumlah kira-kira RM186.75 bilion dan perolehan RM81.62 bilion.
“Perolehan itu meningkat 19.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Di Sarawak, sebanyak 1,212 koperasi direkodkan pada 2025 dengan keanggotaan melebihi 323,000 orang dan perolehan hampir RM486.93 juta, meningkat kira-kira 18 peratus berbanding 2024,”ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata kekuatan tersebut perlu dimanfaatkan bagi memastikan gerakan koperasi kekal relevan dengan perubahan pasaran, selain mewujudkan peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada anggota dan masyarakat setempat.
Mohd Zaib turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan dalam memperkukuh keupayaan koperasi membuat keputusan, memahami pasaran dan mengurus perniagaan dengan lebih berkesan.
Katanya, IKMa terus menyediakan pendidikan, latihan, bimbingan dan khidmat konsultasi bagi membantu koperasi meningkatkan keupayaan pengurusan serta meneroka peluang perniagaan secara lebih terancang.
Beliau berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada koperasi di Bintulu dan kawasan sekitarnya untuk mengenal pasti sekurang-kurangnya satu peluang perniagaan berpotensi dan mengambil langkah konkrit bagi merealisasikannya.



