ARTIKEL

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC, hari ini.

10 kawasan catat IPU tidak sihat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 10 kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 6 petang ini, dengan Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 197.

Kuching mencatatkan bacaan 191, diikuti Samarahan (178), Sri Aman (177), Sarikei (171), Sibu (160), Mukah (158), Bintulu (157), Samalaju (153) dan Miri (136).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, kualiti udara negara semakin merosot susulan peningkatan bilangan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, khususnya di Sarawak.

“Keadaan berkenaan dipercayai berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah yang menjejaskan beberapa kawasan di negeri itu.

“Setakat jam 6 petang, sebanyak 11 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, dengan hanya satu kawasan dari luar Sarawak iaitu Bukit Rambai, Melaka yang merekodkan bacaan 152,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) berdasarkan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) pada 21 Ogos mengesan 425 titik panas di Kalimantan dan 187 di Sumatera.

Sebanyak 15 titik panas turut dikesan di Malaysia, termasuk tujuh di Sarawak, dua di Johor, satu di Kelantan, satu di Melaka, dua di Pahang dan dua di Terengganu.

Menurut Azuri, Peta Jerebu Serantau ASMC yang dikeluarkan hari ini menunjukkan keadaan cuaca kering di rantau ASEAN selatan, dengan kelompok titik panas bertaburan di beberapa kawasan di Kalimantan.

“Titik panas terpencil turut dikesan di bahagian tengah dan selatan Sumatera, selain beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sulawesi dan Pulau Jawa,” jelasnya.

Susulan perkembangan itu, JAS terus memperkukuh pemantauan, pencegahan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka di seluruh negara, terutama ketika cuaca panas dan kering serta melaporkan status IPU setiap jam bagi memastikan perubahan kualiti udara dapat dikesan segera dan tindakan sewajarnya diambil.

Selain pemantauan titik panas, rondaan lapangan dan penggunaan dron turut dilaksanakan bagi mengesan serta mencegah aktiviti pembakaran terbuka, termasuk di kawasan sukar diakses.

Sementara itu, Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) menetapkan beberapa tindakan berdasarkan tahap bacaan IPU, termasuk pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan melebihi 150 selama lebih 24 jam.

Semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.

Operasi Pembenihan Awan pula dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

Sehubungan itu, JAS menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

“Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS, manakala nasihat kesihatan dan langkah pencegahan ketika jerebu boleh diperoleh menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Orang ramai turut diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil serta melaporkan kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727,” katanya.

BERITA LAIN

254 projek RTP dilaksana di Machan sejak 2021

KUCHING: Sebanyak 254 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan dari 2021 hingga 2026 bagi meningkatkan kemudahan asas

BERITA TERBARU

254 projek RTP dilaksana di Machan sejak 2021

KUCHING: Sebanyak 254 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan dari 2021 hingga 2026 bagi meningkatkan kemudahan asas