KUCHING: Sebanyak 254 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan dari 2021 hingga 2026 bagi meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata, projek berkenaan merangkumi pembinaan dan penambahbaikan jalan komuniti, kemudahan rumah panjang, jeti serta pelbagai prasarana awam.
Beliau berharap pelaksanaan projek pembangunan dapat dipercepat, khususnya dari segi kelulusan teknikal, proses tender dan penyelesaian kerja.
Katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, antara keperluan mendesak ialah menyediakan akses jalan raya kepada penduduk di Ulu Poi, Ulu Machan dan kawasan sekitarnya masih bergantung pada laluan terhad untuk urusan harian.
“Projek Jalan Menalun–Sungai Poi Fasa 3 menghubungkan Rumah Keleman, Rumah Nyaru dan Rumah Jelani dijadualkan siap pada 2027,” katanya.
Beliau berharap projek itu diteruskan ke Fasa 4 supaya lebih ramai penduduk Ulu Poi mendapat kemudahan jalan darat.
Beliau mencadangkan jalan dari Nanga Jerangku ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Machan dilanjutkan hingga ke rumah panjang yang belum mempunyai akses jalan, termasuk Rumah Lajang.
Allan berkata, jalan balak yang masih menjadi laluan utama penduduk di Machan, Poi dan Menuan perlu diberi perhatian dari segi penyelenggaraan dan penaiktarafan.
Dalam aspek bekalan air, beliau menyambut baik pembinaan Loji Rawatan Air Baharu Kanowit yang dijangka memberi manfaat kepada 754 isi rumah, melibatkan 43 kampung dan rumah panjang serta tiga sekolah di kawasan Majau, Batu Luking, Mam dan Poi.
Beliau mencadangkan supaya pemasangan rangkaian paip dirancang lebih awal bagi membolehkan penduduk menikmati bekalan air bersih sebaik sahaja projek itu siap.
Sementara itu, Projek Bekalan Air Kanowit Fasa 2 (Peringkat 2), menghubungkan Loji Rawatan Air Salim di Sibu dengan Pasar Kanowit dan kawasan sekitarnya dijangka siap sepenuhnya penghujung 2028.
“Pelaksanaan projek Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles Fasa 2 dan Fasa 3 yang siap pada 2025 pula memberi manfaat kepada keseluruhan 32 rumah panjang di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Katanya, kemudahan itu membantu penduduk mengurangkan kebergantungan terhadap generator yang memerlukan kos operasi tinggi, sekali gus meningkatkan keselesaan kehidupan harian.
“Pembangunan infrastruktur perlu diteruskan secara menyeluruh supaya penduduk di kawasan pedalaman turut menikmati kemudahan asas yang lebih baik,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas peruntukan RM6.4 bilion bagi pembangunan luar bandar menerusi Belanjawan Sarawak 2027, yang mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan seimbang di seluruh negeri.



