ARTIKEL

Abang Johari menyampaikan tawaran YSISS kepada penerima dalam Program SKS 2026 Bahagian Mukah, hari ini. FOTO: ALIF NONI

10 pelajar Mukah terima tawaran YSISS bernilai RM115,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Seramai 10 pelajar dari Bahagian Mukah menerima tawaran mengikuti pengajian di Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS), Sibu, dengan setiap pelajar menerima pembiayaan RM115,000 sepanjang tempoh lima tahun.

Daripada jumlah itu, enam pelajar ditawarkan pengajian Tahun 7 manakala empat lagi Tahun 8 menerusi inisiatif pendidikan Kerajaan Sarawak.

Penyampaian simbolik tawaran berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Mukah, di sini, hari ini.

Pembiayaan RM115,000 bagi setiap pelajar meliputi yuran persekolahan, buku teks, penginapan asrama, makanan serta kemudahan pembelajaran sepanjang tempoh lima tahun.

YSISS merupakan antara usaha Kerajaan Sarawak menyediakan akses kepada pendidikan bertaraf antarabangsa berasaskan kurikulum Cambridge International.

Inisiatif itu memberi peluang kepada pelajar Sarawak mengikuti pendidikan yang berdaya saing serta mendapat pendedahan kepada standard pendidikan antarabangsa.

Pada majlis sama, Abang Johari turut menyampaikan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada 10 penerima dari Bahagian Mukah.

Penerima terdiri daripada dua warga emas, lima isi rumah dan tiga golongan bujang bagi membantu meringankan beban keperluan asas mereka.

Selain itu, 10 penerima turut menerima bantuan menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) Sarawak.

FTES merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak bagi memperluas akses kepada pendidikan tinggi dan membantu anak Sarawak mendapatkan peluang melanjutkan pengajian.

Kesemua inisiatif berkenaan mencerminkan usaha Kerajaan Sarawak dalam memperluas peluang pendidikan serta membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU